Kuala Lumpur: Penyanyi Ziana Zain, 53, selamat menjalani pembedahan akibat masalah gastrik yang dialami sejak 2018.
Ziana berkata, dia bersyukur dinasihati pakar untuk melakukan rawatan bariatrik itu bagi mencegahnya daripada melarat dan menjadi penyakit lain.
“Doktor menjelaskan angin yang selalu dialami itu rupa-rupanya berpunca dari saluran ulu hati yang sudah longgar. Jadi, cecair gastrik boleh senang masuk ke saluran itu.
“Alhamdulillah, berkat dari kepakaran doktor, saya dapatlah menjalani kehidupan seperti biasa. Insya-Allah bebas dari gastik dan tekanan darah tinggi saya kembali normal.
“Mungkin ramai yang berfikiran bahawa rawatan bariatrik ini hanya untuk penurunan berat badan. Sebenarnya ia juga boleh merawat penyakit gastrik, kolestrol dan diabetes juga,” katanya.
Penyanyi popular itu berkata, banyak aktiviti harian termasuk kerjanya terganggu selepas diserang penyakit berkenaan beberapa tahun lalu.
Malah, Ziana pernah ke ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan jantung bagi mencari punca penyakitnya.
“Sejak 2018 sudah mula rasa ada sesuatu yang tak kena dengan diri ini. Perut cepat rasa tak selesa, angin dalam badan yang menyebabkan kesukaran bernafas serta sukar tidur malam.
“Semua ini banyak menganggu urusan harian dan kerja. Selepas membuat beberapa pemeriksaan rupanya ada masalah gastrik,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter