Kuala Lumpur: Wartawan cilik ‘viral’ dikenali Muhammad Haziq Mohd Asyraf, 12, kini bergelar pelakon dan akan muncul dengan drama pertama lakonannya, Misi Anak Bulan di TV9, jam 6 petang, pada hari raya kedua ini.
Haziq yang berasal dari Kedah, sebelum ini meraih perhatian warganet dan menjadi popular selepas videonya melaporkan penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani tular di media sosial.
Mengulas pembabitannya dalam lakonan, Haziq ditemui berkata dia mahu mencari pengalaman walaupun kerjaya sebagai pelakon sebenarnya agak memenatkan kerana perlu mengulang babak.
“Susah juga berlakon ini dan penat sebab satu babak kena ulang banyak kali untuk disiapkan. Kalau tak jadi, kena ulang buat sampai jadi. Memang penat.
“Tapi, saya seronok berlakon dan kalau ada peluang lagi saya nak terus mencuba,” katanya ketika sidang media virtual drama Misi Anak Bulan yang mempunyai lima episod.
Ditanya mengenai populariti dirinya sekarang, Haziq berkata ia tak dinafikan kerana dia menjadi perhatian rakan-rakan di sekolah yang sentiasa ingin mendampinginya.
“Popular itu terasa jugalah sebab ramai kawan di sekolah dah kenal saya. Malah, ke mana saja saya pergi ada antara mereka yang akan ikut. Tapi, saya gembira dan seronok saja.
“Cuma, sekarang ini antara jadi wartawan dan pelakon, dua-dua saya suka. Saya pun tak boleh nak buat pilihan lagi dan tengok dulu macam mana nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Masih melakonkan watak ‘wartawan cilik’ dalam drama Misi Anak Bulan itu, Haziq berganding dengan pelakon dan penyanyi Ezad Lazim dan juga Siti Fazurina.
Sebelum ini, Haziq juga pernah berpeluang menemubual Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di salah sebuah hotel terkemuka di Alor Setar, Kedah pada Februari lalu sekali gus dapat menunaikan impiannya.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter