Soh Wai Ching melebarkan rekod tanpa kalah dalam pertandingan larian menara di seluruh dunia kepada 18 kemenangan berturut-turut apabila mengungguli Big Climb Houston di Amerika Syarikat (AS) pagi tadi.
Malah pelari menara negara itu turut memecahkan rekod lapangan enam minit 42 saat apabila merakam masa 5:21 ketika menamatkan pertandingan membabitkan 50 tingkat dan 1,065 anak tangga bangunan Three Allen Center di tengah bandaraya Houston untuk mengekalkan rentak kemenangannya.
Pelari berusia 27 tahun dari Selayang, Selangor itu diikuti rapat Malcolm Burleson, seorang atlet tempatan yang membuat penampilan sulung dengan masa 5:48 manakala Douglas Schroeder di tangga ketiga selepas mencatat 7:50.
Verity Rees dari AS pula bertindak hebat untuk mendominasi kategori wanita dengan masa 8:19 dan kelima keseluruhan.
Namun semuanya itu tidak mungkin dilakukan Wai Ching yang hampir terlepas pertandingan di Houston jika tidak dibantu dua ahli perniagaan berjaya Malaysia di AS, Darren Chong di Dallas dan Lee Hong Seng di Houston.
“Saya terlepas penerbangan dari Portland ke Vegas. Tapi Hong Seng membantu saya menempah tiket penerbangan pada hari sama.
“Kemudian dari Vegas ke Houston, penerbangan tertangguh dan Darren pula membantu saya membelikan tiket penerbangan pada hari sama. Hong Seng kemudian menjemput saya di lapangan terbang Houston pada jam 6.40 petang Jumaat. Pertandingan pada jam 8 pagi Sabtu,” katanya ketika dihubungi.
Wai Ching, yang memenangi lima pertandingan menara setakat ini tahun ini pada M1 Run di Dubai (5 Februari), Scale the Strat, Las Vegas (27 Februari), Big Climb Dallas (26 Mac), Big Climb Seattle (27 Mac) dan Big Climb Houston (2 April) akan mencuba mengekalkan rekod kemenangan itu pada pertandingan Fight For Air Climb San Francisco (555 California St, San Francisco) pada 9 April.
“Saya mahu mengekalkan rekod ini selama mungkin yang boleh sekalipun ranking dunia masih dibekukan ketika ini,” katanya yang menghuni ranking nombor dua dunia di belakang pelari menara Poland, Piotr Lobodzinski yang juga juara dunia.
Sejak Disember 2019, Wai Ching yang juga pelari menara ranking nombor satu Asia, berjaya menewaskan Lobodzinski sekali pada pertandingan Almas Tower Vertical Run di Dubai pada Februari 2020, sebaik sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.