22.1 C
Malaysia
Monday, May 29, 2023

Tiada lagi penundaan aksi Liga M

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan tiada lagi penundaan perlawanan membabitkan pasukan yang terkena jangkitan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata SOP baharu itu sudah diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah badan itu dan turut dibentangkan kepada semua ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab-kelab yang bertanding pada sesi taklimat 29 Mac lalu.

Katanya, pelaksanaan SOP baharu itu penting dalam memastikan kelancaran saingan Liga M dengan pasukan bakal mengharungi jadual agak padat andai kelonggaran untuk pasukan memohon penundaan perlawanan akibat kes COVID-19 terus dilaksanakan.

“Dengan penundaan beberapa perlawanan sebelum ini jelas menjejaskan penjadualan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana khususnya bagi tempoh rehat serta perjalanan kelab-kelab dan juga perancangan pasukan kebangsaan.

“Masalah ini diburukkan lagi dengan beberapa perlawanan yang terpaksa ditunda hanya sehari sebelum perlawanan yang mana pasukan lawan dan pegawai-pegawai perlawanan telah tiba di negeri pasukan tuan rumah.

“Selain kekangan masa bagi penjadualan semula perlawanan tertunda, setiap penundaan akan menelan kos tinggi dari segi pengelolaan, logistik, penyiaran dan keselamatan serta merumitkan keadaan bagi semua pihak yang terbabit,” katanya.

Sehingga 16 Mac lalu iaitu dalam hanya tempoh 12 hari saingan Liga M musim ini bermula, MFL terpaksa menunda 16 perlawanan membabitkan pertandingan Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA susulan penularan kes COVID-19 dalam kalangan pegawai dan pemain kelab.

Mengulas lanjut, Stuart menjelaskan, dengan keputusan untuk tidak memberi kebenaran kepada sebarang penundaan perlawanan bagi pegawai dan pemain kelab yang positif COVID-19 atau kontak rapat bergejala, maka protokol COVID-19 perlawanan Liga M 2022 akan dikuatkuasakan

Ia termasuk kelab diberi pengecualian sementara untuk menggantikan pegawai dari pasukan simpanan, Piala Presiden atau Piala Belia.

Pasukan juga dibenarkan untuk mendaftarkan pemain dari tiga skuad berkenaan ke dalam senarai pilihan skuad utama bagi mengisi kekosongan pemain yang dijangkiti COVID-19.

“Pasukan perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya 14 pemain (tiga pemain simpanan) pada hari perlawanan. Namun sekiranya kelab gagal mendaftar jumlah 14 pemain itu sebelum perlawanan, maka Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan sama ada kelab berkenaan boleh meneruskan perlawanan atau dikira kalah.

“Penundaan perlawanan akan hanya dipertimbangkan sekiranya kedua-dua kelab bersetuju untuk bermain di dalam tempoh ‘FIFA Days’ sahaja tanpa pemain yang berkemungkinan dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Bagaimanapun sebarang permohonan berkaitan penundaan perlawanan, perubahan jadual atau apa-apa keputusan berkaitan isu COVID-19 adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan MFL dan arahan terkini oleh Kerajaan,” katanya.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
1FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
19,122
Total active cases
Updated on May 28, 2023 6:40 pm

Latest Articles

Skip to toolbar