Pasukan keselamatan Israel berada dalam keadaan berjaga-jaga hari ini selepas seorang lelaki bersenjata Palestin membunuh lima orang di pinggir bandar Tel Aviv.
Serangan terbaru itu mencetuskan kebimbangan peningkatan serangan yang lebih meluas menjelang Ramadan, seperti mana yang lazimnya berlaku saban tahun.
Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, berkata negara itu sedang menghadapi ‘gelombang baharu keganasan’, sebelum mesyuarat Kabinet keselamatan diadakan, dengan polis meningkatkan kehadiran mereka di beberapa bandar di Israel.
Serangan di Bnei Brak, iaitu sebuah bandar ultra-Ortodoks Yahudi, menyebabkan 11 terbunuh akibat penyerang warga Arab di Israel sepanjang minggu lalu.
Ia adalah lonjakan paling ketara membabitkan serangan di beberapa jalan utama di bandar dalam tempoh beberapa tahun, sekali gus menimbulkan rasa tidak selamat bagi warga Israel.
Menurut polis, lelaki bersenjata itu adalah warga Palestin dari Ya’bad iaitu sebuah bandar di Tebing Barat, yang ditembak mati oleh polis semasa serangan itu.
Saksi berkata, lelaki itu berjalan melalui kawasan perumahan di Bnei Brak, sebelum membunuh seorang anggota polis dan masing-masing dua orang awam Israel dan warga Ukraine yang juga pekerja veteran di Israel.
Sebelum ini, seorang penyerang yang bertindak menikam dan merempuh kereta di bandar Beersheba, Israel pada 22 Mac lalu dan dua lelaki bersenjata warga Arab Israel dalam serangan di bandar Hadera pada Ahad lalu.
Pihak berkuasa Israel berkata penyerang itu, yang terbunuh semasa serangan terbabit, adalah pengikut setia kumpulan militan.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengecam tembakan di Bnei Brak, yang mana tiada kumpulan bersenjata mengaku bertanggungjawab walaupun penduduk di Ya’bad mengaitkan penyerang itu dengan parti Fatah.
Menurut tentera Israel, ia sudah mengerahkan lebih banyak anggotanya ke Tebing Barat dan tentera dilihat berkawal melalui Ya’bad.
Menteri Luar Israel, Yair Lapid, pula berkata, pasukan keselamatan negara itu kini berada pada tahap tertinggi berjaga-sejak perang Gaza Mei lalu.
Pegawai Israel memberi amaran mengenai potensi peningkatan serangan menjelang bulan April hingga Ramadan.
Pada Ramadan tahun lalu, pertempuran antara rakyat Palestin dan polis Israel di Baitulmaqdis Timur, yang ditawan Israel bersama Tebing Barat dalam perang 1967, mencetuskan keganasan antara Israel dan penduduk Gaza, yang membawa kepada perang selama 11 hari pada Mei lalu. – REUTERS