Johor Bahru: Polis mengesahkan anjing yang ditarik menggunakan tali dari sebuah kereta di Taman Sri Skudai di sini adalah haiwan peliharaan milik penumpang kereta terbabit.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, siasatan terhadap video tular berdurasi sembilan saat yang memaparkan insiden itu mendapati kejadian berlaku kira-kira 2 petang, kelmarin.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengesan pemandu dan penumpang kereta Myvi berkenaan untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara.
“Lelaki berusia 34 tahun dan ibunya berusia 61 tahun mendakwa anjing terbabit adalah haiwan peliharaannya yang hilang dan dijumpai semula di kawasan itu.
“Anjing itu ditemukan dalam keadaan kotor dan berkutu, justeru mereka beranggapan tidak sesuai haiwan itu dibawa masuk ke dalam kereta.
“Ibu lelaki itu menggunakan tali dan menarik anjing berkenaan dari tingkap penumpang hadapan kereta yang dipandu secara perlahan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Rupiah berkata, kedua-dua individu itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil.
Katanya, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atau seksyen 44 (1)(a) Akta Binatang 1953.
“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat ke IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter