Kajang: Bukan sekali sebaliknya empat kali kedai komputer di Bandar Damai Perdana di sini, dirompak sekumpulan penjenayah sehingga turut mengancam nyawa pengawal keselamatan kedai.
Penjenayah dikatakan melepaskan tembakan dan hampir mencederakan pengawal keselamatan selain memusnahkan alat penggera dan pintu jeriji kedai sebelum melarikan barang berharga membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.
Meskipun berdepan kerugian yang besar dan nyawa terancam namun Pengurus kedai yang mahu dikenali Chai, 34, tiada pilihan untuk meneruskan perniagaan di kawasan itu demi kelangsungan hidupnya dan pekerja.
Menurutnya, kali pertama kedai dimasuki perompak pada 24 Ogos 2021 diikuti kali kedua pada 29 Disember tahun sama.
Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sekumpulan lelaki memecahkan jeriji dan melarikan pelbagai barangan komputer pada waktu awal pagi.
“Selepas kejadian itu, kami terpaksa membaiki semula kerosakan berkenaan dan meneruskan perniagaan seperti biasa.
“Namun saya tidak sangka pula kejadian sama berulang pada tahun ini iaitu pada 23 Mac lalu,” katanya hari ini.
Berikutan bimbang kejadian berulang, Chai mengambil dua pengawal keselamatan untuk menjaga premis.
“Malangnya, kedai kami dirompak sekali lagi pada Sabtu lalu iaitu empat hari selepas kejadian kali ketiga.
“Sekumpulan 15 lelaki melakukan jenayah itu dan mengugut pengawal keselamatan dengan melepaskan tembakan,” katanya.
Sumber : Harian Metro