Gareth Southgate menegaskan Harry Maguire masih mampu beraksi di peringkat tertinggi ketika pertahanan England itu bersiap untuk aksi persahabatan menentang Ivory Coast, awal pagi esok waktu Malaysia.
Maguire memanaskan bangku simpanan ketika kemenangan 2-1 ke atas Switzerland pada Sabtu lalu, susulan musim mengecewakan bersama Manchester United.
Pemain berusia 29 tahun itu bergelut musim ini, sehingga ada yang menuntut Southgate untuk menggugurkannya daripada skuad England.
Bagaimanapun Southgate ingin menggunakan kembali khidmat Maguire selepas Ben White, Marc Guehi dan Conor Coady menampilkan aksi kurang memberangsangkan di benteng ketika bertemu Switzerland.
“Harry membawa kami ke separuh akhir Piala Dunia dan final Kejuaraan Eropah, jadi tanpa ragu-ragu dia mampu beraksi di peringkat tertinggi.
“Dia cemerlang bersama kami sebelum ini, di kelab cerita berbeza. Mungkin ada beberapa perkara yang menyebabkannya,” kata Southgate.
Bagaimanapun pengendali England itu tidak mahu Maguire mengambil mudah kedudukannya dalam skuad dan dia masih perlu bersaing untuk mendapat tempat di Qatar nanti.