SINGAPURA: Ketika republik ini melangkah ke tempoh peralihan pandemik COVID-19, rakyat dinasihat terus berhati-hati kerana sifat coronavirus itu yang tidak menentu, kata Menteri Kewangan, Lawrence Wong.
Beliau, yang juga pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF), berkata meskipun negara itu dalam kedudukan baik bagi mengawal pandemik, ia harus mengekalkan tahap kewaspadaan tinggi.
“Ini bagi membolehkan kita dapat terus melakukan pelonggaran langkah keselamatan dan pembukaan semula sempadan secara bertahap.
“Pada masa sama, masyarakat Singapura digesa menggunakan masa sekarang, di mana lebih banyak langkah pengurusan selamat (SMM) dilonggarkan, untuk menyambung semula kehidupan normal seberapa yang boleh.
“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dengan virus ini… kita sudah menangani berbilang gelombang coronavirus ini sejak 2020,” katanya dalam satu temuramah khas dengan media SPH.
Beliau disertai Menteri Kesihatan merangkap pengerusi bersama MTF, Ong Ye Kung,
Wong mengingatkan, selepas berhubungan semula dengan keluarga dan rakan serta menyambung semula kehidupan normal, semua perlu beringat, berhati-hati dan jangan lalai ketika menikmati serta memanfaatkan pelonggaran SMM terkini.
Lantaran itu, tambah beliau, sekiranya berlaku gelombang virus seterusnya, ada kemungkinan ia lebih lemah meskipun sifatnya lebih berbahaya dan agresif.
“Jadi kita harus terus bersedia serta memantau dengan rapat bagaimana keadaan ini boleh berubah.
“Singapura yang kini dalam kedudukan baik, harus terus mengekalkan tahap kewaspadaan yang tinggi,” katanya.
Beliau juga lega kerana masih ramai terus memakai pelitup muka ketika berada di luar walaupun tidak diwajibkan lagi.
Ditanya mengenai pelonggaran langkah seterusnya yang akan diambil, Wong berkata ia bergantung kepada perkembangan semasa keadaan COVID-19 nanti.
“Pembukaan semula sempadan adalah satu langkah besar, kes jangkitan akan meningkat, namun ia akan terus terkawal dan selepas itu, barulah kita boleh timbangkan langkah seterusnya,” katanya. – AGENSI