JOHOR BAHRU: Sembilan termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam penjualan kad ATM ‘mule account’ (keldai akaun) ditahan dalam dua serbuan di sebuah rumah sekitar Kampung Melayu Majidee, di sini, semalam dan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 32 hingga 40 tahun.
Katanya kesemuanya suspek berperanan sebagai ejen penjualan kad berkenaan.
“Mereka akan mendapat bayaran lebih kurang RM600 untuk penjualan setiap kad ATM yang diperolehi.
“Kad ATM akan dijual semula kepada sindiket ‘money game’ atau pelaburan dalam talian dengan harga kira-kira RM1,600 hingga RM1,900 bagi setiap kad ATM.
“Siasatan mendapati tujuh suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Raub, hasil serbuan itu pihak polis turut merampas 19 keping kad ATM dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.
Katanya kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam.
“Kes disiasat mengikut bawah Seksyen 420 (Tipu) Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, boleh dikenakan sebatan dan denda.
“Pihak polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati di dalam menyerahkan kad ATM kepada individu yang tidak dikenali.
“Adalah menjadi suatu kesalahan menyerahkan kad ATM atas urusan penjualan dan juga untuk kegiatan jenayah kepada individu lain,” katanya.