Rekod individu yang disenarai hitam daripada masuk ke Malaysia kerana isu keselamatan dan jenayah diaktifkan semula susulan pembukaan sempadan negara bermula semalam, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan individu terbabit tidak bolos masuk ke Malaysia, seterusnya meletakkan risiko dan boleh meningkatkan kadar jenayah di negara ini.
“Selepas Jemaah Menteri bersetuju membuka pintu sempadan pada 1 April, saya telah mengarahkan semua agensi (di bawah Kementerian Dalam Negeri) bersiap siaga dari pelbagai aspek, malah kita telah pun bersiap sedia sejak sebulan lalu.
“Kita alu-alukan sesiapa sahaja datang ke Malaysia, namun pada masa sama, kita kena sedia dari segi keselamatan dan keperluan lain mengikut prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ada individu yang kita letak dalam ‘senarai hitam dan kita akan pastikan mereka tidak terlepas atau dibenarkan masuk ke Malaysia bagi memastikan keselamatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau sempena Ramadan di sini, hari ini.
Hamzah menegaskan, menyedari ramai individu yang akan memasuki negara, pasukan keselamatan bersiap sedia membuat pemantauan ketat bagi menghalang sesiapa sahaja yang cuba masuk ke Malaysia untuk melakukan jenayah seperti penyeludupan.
Mengenai persediaan kementeriannya susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di antara Malaysia dan Indonesia yang disempurnakan di Jakarta kelmarin, beliau berkata, ia antara lain membabitkan perlindungan kepada pembantu rumah dari negara jiran itu.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan kekerasan terhadap pembantu rumah. Kita masih ada undang-undang, jika salah kita tangkap. Bukan sahaja orang luar, orang dalam negara yang dikesan melakukan kekejaman kepada pembantu rumah pun, kita akan hadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Sumber : Berita Harian