Ratusan penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan membantah hukuman mati selepas wujud kebimbangan lebih banyak hukuman seumpamanya bakal dilaksanakan.
Perhimpunan itu diadakan selepas Singapura melaksanakan hukuman terbabit buat pertama kali sejak 2019, ke atas seorang pesalah jenayah penyeludupan dadah.
Rakyat Singapura, Abdul Kahar Othman, 68, dijatuhkan hukuman gantung atas kesalahan menyeludup dadah pada Rabu lalu dirayu pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia
Seorang lagi yang bakal berdepan hukuman sama adalah rakyat Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam, orang kelainan upaya (OKU) yang disabitkan kesalahan menyeludup dadah jenis heroin, selepas gagal dalam rayuannya minggu lalu.
Malah, beberapa rayuan banduan akhir berkaitan kes dadah baru-baru ini ditolak mahkamah Singapura.
Penganjur memaklumkan kira-kira 400 peserta menyertai perhimpunan terbabit yang diadakan di ‘Speaker’s Corner’, satu-satunya lokasi dibenarkan mengadakan bantahan tanpa memerlukan kebenaran.
Dalam perhimpunan itu, mereka membawa sepanduk tertulis ‘hukuman berat tidak menjamin keselamatan kami’ dan “jangan membunuh atas nama kami’ selain melaungkan slogan membantah hukuman mati.
Seorang aktivis tempatan, Kristen Han, berkata hukuman mati adalah sistem yang kejam dan menjadikan semua yang menerimanya turut bersikap kejam.
“Kerajaan sepatutnya mendorong rakyat menangani ketidaksamaan, sistem bersifat eksploitasi dan menindas sehingga orang ramai terpinggir tanpa sokongan tetapi sebaliknya mendedahkan sikap terburuk kita,” katanya.
Protes seumpamanya adalah tindakan luar biasa yang jarang berlaku di Singapura yang sering dikritik kerana menyekat kebebasan awam. – AFP