22.3 C
Malaysia
Tuesday, October 4, 2022

Ramai yang ingkar tunggang e-skuter di jalan raya

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) giat memantau aktiviti penggunaan e-skuter di sekitar jalan raya bandar ini yang dilihat semakin berleluasa.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalu Lintas MBPP, Tan Seng Keat, berkata semakin banyak premis perniagaan yang menyediakan khidmat sewa e-skuter kepada orang ramai terutama kepada pelancong kerana mendapat permintaan tinggi.

“Sebelum ini kita dapat lihat dua atau tiga kedai sahaja yang memberi sewa kenderaan itu tetapi selepas tiada sekatan pergerakan semakin banyak dan isu ini semakin serius dan membimbangkan.

“Ini kerana kebanyakan penunggang e-skuter dilihat mengabaikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain termasuk tidak mengenakan topi keledar dan memandu melawan arus,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, e-skuter yang bersifat mikro mobiliti sepatutnya hanya boleh digunakan di kawasan siar kaki awam atau satu lokasi yang diasingkan dari jalan raya.

Katanya, MBPP bercadang bertemu dengan pengusaha kedai atau premis yang menyediakan perkhidmatan sewa e-skuter dan untuk memberi nasihat serta peringatan berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, MBPP boleh menyita atau merampas e-skuter yang menghalang laluan di kawasan siar kaki awam namun tindakan undang-undang seperti saman tertakluk kepada bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“MBPP akan melakukan lebih banyak operasi dan akan bekerjasama dengan PDRM dan JPJ untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini tiada kemalangan dilaporkan membabitkan penggunaan e-skuter dan pada peringkat awal operasi yang dilakukan lebih kepada memberi pendidikan kesedaran awam,” katanya.

Terdahulu, MBPP menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, berkata satu operasi diadakan untuk memberi tumpuan kepada aktiviti menunggang e-skuter secara berbahaya bermula jam 11 malam tadi dan berakhir kira-kira 2 pagi, hari ini.

Operasi itu dilakukan susulan tersebarnya satu video tular di media sosial yang mendakwa sekumpulan remaja dilihat menggunakan kenderaan itu di Lebuh Pantai, di sini jam 2.24 pagi beberapa hari lalu.

“Satu mesyuarat untuk menangani isu ini diadakan antara MBPP, PDRM, JPJ termasuk melakukan tindakan penguatkuasaan.

“MBPP tidak mengeluarkan sebarang lesen kepada pengendali e-skuter dan pemantauan aktiviti berkenaan giat dijalankan demi keselamatan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan e-skuter dilarang di atas jalan raya dan ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber Berita Harian / Oriental Daily News Malaysia

Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
0FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
23,331
Total active cases
Updated on October 4, 2022 1:51 pm

Latest Articles

Skip to toolbar