Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) kini akan memberi tumpuan kepada epidemik kes penyakit tidak berjangkit (NCD) kerana situasi Covid-19 di negara ini sudah berjaya dikawal.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun penularan Covid-19 adalah satu kecemasan kepada kesihatan awam, namun epidemik NCD ini lebih berjangka panjang dan ia tidak dapat dilihat dalam masa terdekat.
Berbanding Covid-19, Khairy berkata, gejala yang ditunjukkan oleh individu yang dijangkiti virus berkenaan dapat dilihat dalam tempoh masa tiga hingga empat hari.
“NCD ini gejala atau mudaratnya hanya akan dapat dilihat tahun akan datang, sekiranya ia tidak diuruskan dengan baik atau dikawal, penyakit itu hanya akan dapat dikesan dalam beberapa tahun lagi, tidak sama seperti Covid-19.
“Penyakit NCD ini seperti bom jangka, kita tidak tahu dia ada tapi bila-bila masa sahaja ia akan meletup. Bila sudah meletup, ia dikira sudah terlambat dan kita terpaksa merawat dan tidak dapat laksanakan apa-apa tindakan untuk mencegah NCD berkenaan menjadi lebih teruk kepada rakyat.
“Sebab itu kita harus tumpukan semula NCD ini dan inisiatif saringan dapat dilaksanakan secara besar-besaran. Kita bukannya tiada program atau peruntukan, benda itu ada namun cuma setengah juta individu sahaja yang datang membuat saringan percuma bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Laporan Tahunan PeKa B40 bagi tahun 2021, di kementeriannya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa langkah akan diambil oleh pihaknya untuk menghasilkan rakyat yang sihat sejahtera termasuk mahu memastikan saringan kesihatan yang ada dalam kerajaan atau badan berkanun di negara ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Selain itu kita juga akan usahakan satu inisiatif untuk membuat rekod kesihatan secara digital, ia secara tidak langsung dapat memudahkan rakyat untuk mengakses rekod kesihatan mereka secara digital.
“Dengan inisiatif ini, rakyat akan lebih peka dengan tahap kesihatan mereka dan mengetahui kemas kini kesihatan untuk dibawa ke mana sahaja sama ada berkongsi dengan doktor atau klinik.
“Ini adalah langkah untuk menghasilkan rakyat yang sihat sejahtera. Disebabkan Covid-19, rakyat kini sudah pandai mengenai isu kesihatan, jadi kita mahu sambungkan tradisi itu, kalau dah tahu banyak mengenai Covid-19, sekarang mereka perlulah ambil peduli mengenai tahap kesihatan termasuk penyakit lain,” katanya.
Sementara itu, mengenai laporan PeKa B40, Ketua Pegawai Eksekutif Protecthealth Corporation, Datuk Dr Anas Alam Faizli, berkata sehingga 31 Disember lalu seramai 553,311 penerima manfaat PeKa B40 sudah disaring dan daripada jumlah itu, sebanyak 101,673 individu sudah disaring pada tahun lalu.
“Daripada jumlah ini seramai 186,610 individu dikesan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit NCD dan untuk tahun lalu sahaja, seramai 37,253 (36.7 peratus) individu dikesan mempunyai sekurang-kurangnya satu NCD.
“Tiga NCD yang paling tinggi dalam kalangan kumpulan B40 di Malaysia yang disaring adalah darah tinggi (29.8 peratus), kolestrol tinggi (29.2 peratus) dan diabetes (19.8 peratus),” katanya.
Sumber : Harian Metro / Onenews
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter