BALIK PULAU – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya.
Abdul Jamal Ahmad, 23, didakwa membunuh Nur Diyanah Haris, 21, di sebuah rumah di Lintang Kampung Masjid, Teluk Kumbar di sini, antara 9 pagi dan 5 petang 3 April lalu.
Pertuduhan, dirangka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Abdul Jamal selepas pertuduhan dibacakan kepadanya kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Majistret Nur Fadrina Zulkhairi menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat ke atas mangsa. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber : The Malaysia Reserve / Astro Awani
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter