30.6 C
Malaysia
Saturday, September 24, 2022

Petrol percuma buat penunggang e-hailing


Kuala Lumpur: Bagi menghargai pengorbanan dan jasa penunggang e-hailing serta barisan hadapan, MySetiawangsa memberikan petrol percuma kepada dua kumpulan berkenaan, hari ini.

Presiden MySetiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, pihaknya menyasarkan antara 400 hingga 500 motosikal yang dinaiki dua kumpulan sasar itu untuk menerima bantuan berkenaan.

“Kami mengadakan inisiatif ini sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka dengan membantu mengurangkan beban mereka menerusi pemberian petrol percuma.

“Malah, ia adalah juga bagi menghargai pengorbanan mereka yang mungkin ramai tidak nampak akan kesusahan mereka sekali gus menunjukkan bahawa kita tidak pernah melupakan jasa kumpulan terbabit,” katanya pada sidang media selepas memberikan petrol percuma kepada penunggang motosikal bagi dua kumpulan terbabit di Stesen Minyak Petron Sri Rampai, di sini, hari ini.

Turut hadir, pelakon, Puteri Sarah Liyana selain wakil daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mohd Irwan berkata, pihaknya juga berhasrat untuk mengadakan pemberian petrol percuma kali kelima dalam masa terdekat sebelum sambutan Aidilfitri.

“Inisiatif pemberian petrol ini sudah kita laksanakan sebelum ini, namun ia dihentikan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

“Kami memulakan semula inisiatif ini sejak tahun lalu dan sudah melaksanakannya buat kali keempat pada hari ini dan berhasrat untuk melakukannya sekali lagi sebelum raya.

“Bagi pemberian petrol kali kelima nanti, kami berhasrat untuk memberi bantuan itu tidak hanya kepada penunggang e-hailing tetapi kepada semua penunggang motosikal yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, penunggang e-hailing, Noor Latiff Abu Shaari, 50, berkata, pemberian bantuan itu dapat mengurangkan beban mereka dari segi perbelanjaan petrol semasa bekerja.

“Setiap penghantaran yang dibuat, saya dapat (upah) antara RM5 hingga RM10 dan kadangkala perlu menempuh perjalanan yang jauh.

“Dengan adanya bantuan sebegini, ia membantu mengurangkan perbelanjaan untuk membeli petrol terutama ketika banyak tempahan diterima pada masa hampir berbuka puasa,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Seorang lagi penerima bantuan itu, Johairi Hamdan, 34, berkata, dia mengetahui mengenai pemberian bantuan itu menerusi mesej dalam kumpulan sembang di WhatsApp, dua hari lalu.

“Kebetulan saya menetap di kawasan berhampiran iaitu di AU4 menyebabkan saya singgah ke sini, hari ini.

“Dengan bantuan ini, saya dapat simpan upah sedikit yang dikhaskan untuk membeli petrol,” katanya yang bekerja sebagai penghantar makanan sejak tiga tahun lalu.

Sumber : Harian Metro

Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
0FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
25,717
Total active cases
Updated on September 24, 2022 5:01 am

Latest Articles

Skip to toolbar