Kuala Lumpur: Kemelut melanda skuad Perak FC sejak awal musim ini dengan isu tunggakan gaji dan pengambilalihan pasukan akhirnya ternokhtah apabila syarikat telekomunikasi terkenal, XOX Berhad sah sebagai pemilik baharu kelab itu.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah kepada Arena Metro ketika dihubungi, hari ini.
Yunus berkata, majlis berlangsung di pejabat besar XOX di Tropicana, Petaling Jaya itu turut disaksikan CEO Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam.
“Ya, kini Perak FC sudah ada bakal pemilik. Hari ini kita menandatangani MOU (perjanjian memorandum persefahaman) dengan XOX, dan dalam tempoh 14 hari akan datang kita akan sekali lagi menandatangani ‘sales and purchase agreement’.
“Kira hari ini macam majlis bertunang, dan majlis akad nikah dalam 14 hari lagi. Tapi ini langkah terakhir dan perjanjian MOU ini menandakan Perak FC sudah ada pemilik baharu,” katanya.
XOX adalah sebuah syarikat telekomunikasi tersenarai dalam bursa saham Malaysia dan dianggap antara korporat cukup berjaya.
Malah, penglibatan XOX dalam industri sukan tempatan sudah lama apabila sebelum ini sering menjadi penaja dalam beberapa acara sukan termasuk bola sepak atau permotoran.
Hasil termeterainya perjanjian itu, Perak FC muncul pasukan kelima dalam saingan Liga Malaysia yang dimiliki sepenuhnya organisasi swasta tanpa ada penglibatan atau perkongsian saham kelab daripada Kerajaan Negeri atau Persatuan Bolasepak Negeri (FA).
Untuk rekod, antara kelab yang bergerak di atas kaki sendiri adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya City (PJ City), Kelantan FC dan Sri Pahang FC.
Selebihnya masih bergantung dengan dana badan kerajaan bagi menampung perbelanjaan kelab masing-masing.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter