KUALA LUMPUR: Selama ini, kes jenayah atau kejadian pergelutan hanya dilaporkan penyampai berita TV3, Khairul Rizuan Azizan menerusi kaca televisyen.
Namun, kejadian pada jam 3.40 petang pada 5 Mei lalu bagaikan ‘drama sebabak’ dirasai Khairul selepas berdepan pengalaman diseret hingga tercedera ketika mengejar penjenayah di Damansara Perdana.
Ketika kejadian, Khairul cuba mengejar penjenayah yang memecahkan tingkap kereta jenis Honda City miliknya.
Berkongsi kembali detik cemas itu, pembaca berita berusia 34 tahun itu berkata, insiden berkenaan berlaku dalam sekelip mata.
“Memang saya tidak pernah sangka dan duga berdepan pengalaman seperti ini. Selama ini, saya sering melaporkan berita jenayah sama ada sebagai wartawan mahupun pembaca berita.
“Namun, kali ini, ia terkena batang hidung sendiri. Ia berlaku depan mata.
“Saya rasa seperti menonton teater, macam saya pula berlakon sebagai ‘cameo’. Alhamdulillah, saya tidak cedera teruk.
“Saya hanya luka di tangan, jari kanan dan lutut kanan akibat diseret kereta dipandu suspek yang bertindak melarikan diri,” katanya kepada BH Online.
Pemuda kelahiran Bera, Pahang itu berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat di Sri Pentas, TV3 ketika kejadian.
“Hendak dijadikan, saya singgah ke sebuah kedai serbaneka untuk membeli sesuatu ketika perjalanan pulang ke rumah. Tetapi, kedai pula masih ditutup, jadi saya patah balik ke kereta yang diletakkan di tepi jalan.
“Ketika itulah, saya melihat seorang lelaki memakai jaket sedang menendang tingkap bahagian penumpang hadapan kereta. Saya juga nampak suspek mengambil beg yang ditinggalkan dalam kereta.
“Saya kemudian menjerit ke arah suspek menyebabkannya membaling beg, sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta yang sudah menunggu.
“Saya cuba mengejar dan sempat menumbuk mukanya yang ketika itu sudah berada dalam kereta.
“Namun, suspek bertindak memecut kereta menyebabkan saya terseret di jalan raya, sebelum dapat melepaskan diri,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya.
Bagaimanapun, Khairul Rizuan berkata, insiden itu tidak sesekali membuatkannya trauma mahupun serik mengejar penjenayah.
“Saya tahu kerjaya pemberita sering terdedah dengan pelbagai risiko dan insiden yang tak terduga, jadi, saya perlu sentiasa bersedia,” katanya.
Insiden malang itu menjadi tular apabila rakaman kamera papan pemuka kejadian Khairul Rizuan diseret ketika cuba mengejar penjenayah dimuat naik pelakon dan penyanyi popular, Janna Nick membantu pihak berkuasa mengesan suspek.
Secara kebetulan, Janna melalui lokasi kejadian sebaik pulang dari gimnasium, memuat naik rakaman menerusi akaun TikTok dan Instagram miliknya yang kini sudah mendapat hampir 800,000 tontonan.
“Saya berterima kasih kepada Janna dan kekasihnya, Dini Azan Schatzmann kerana merakamkan detik kejadian berkenaan. Video ini sangat membantu pihak berkuasa mengesan suspek dengan pantas.
“Saya dapat tahu suspek, seorang lelaki dan wanita tempatan masing-masing berusia 31 dan 24 tahun ditahan di satu lokasi di Puncak Alam, Selangor. Mereka kini direman selama seminggu,” katanya.
Ditanya apakah mahu bertemu Janna dan Dini, Khairul Rizuan mengakui, dia segan mahu bertemu Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-34 (ABPBH 34) itu.
“Saya amat berterima kasih dan menghargai usaha dan tindakan Janna. Cuma, saya belum berkesempatan mengaturkan pertemuan dengannya.
“Jujurnya, saya segan. Janna, artis popular, saya pula hanyalah pembaca berita baharu,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.
Sumber : Berita Harian
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter