23.6 C
Malaysia
Sunday, May 28, 2023

Penuntut universiti B40 perlukan laptop, bukan tablet

Kerajaan diselar susulan keputusan memberikan tablet berbanding komputer riba kepada penuntut universiti daripada kumpulan B40, bawah inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching, mahu penjelasan logik diberikan berhubung pemberian tablet kepada penuntut universiti memandangkan kerajaan sudah mengagihkan 150,000 komputer riba kepada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di bawah inisiatif Cerdik.

Teo berkata: “Tidak masuk akal kerana logiknya, kita tahu penuntut universiti memerlukan peranti lebih canggih dalam membantu pembelajaran mereka. Hakikatnya, komputer riba lebih bersesuaian bagi mereka.

“Jadi, apa rasional kerajaan menyediakan komputer riba kepada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah dalam Bajet 2021, tetapi hanya menyediakan tablet bagi penuntut universiti dalam Bajet 2022?”

Beliau memberitahu FMT, kerajaan mempunyai tanggungjawab menjelaskan rasional tindakan sedemikian.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan perlu memastikan program tablet itu memenuhi tujuan – di mana bertujuan membantu penuntut universiti dalam kalangan B40 – dan tidak berakhir hanya sekadar gimik.

“Kita tidak mahu program berkenaan sekadar kosmetik dan mewujudkan peluang untuk salah guna, akhirnya menjadikan penuntut (universiti) mangsa. Banyak projek kerajaan menjadi sama ada gimik media atau laluan kepada sesetengah pihak mendapat untung,” katanya kepada FMT.

Pemimpin PKR yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan itu berharap kerajaan akan menguruskan perbelanjaan bagi inisiatif ini secara berhemah memandangkan masalah kewangan dihadapinya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, menggesa kerajaan menyediakan pakej data bersama dengan tablet.

Beliau mencadangkan kerajaan meluaskan bantuan kepada penuntut daripada keluarga M40 yang terjejas pendapatan susulan kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Katanya kepada FMT, kerajaan sepatutnya memberi penjelasan sama ada menyediakan khidmat sokongan kepada tablet dari segi kos, sekiranya peranti itu memerlukan pembaikan dan di mana penuntut boleh mendapatkan khidmat terbabit jika tablet mengalami masalah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, ketika dihubungi, berkata kerajaan sepatutnya tidak mengulangi kesilapan dilakukan dalam inisiatif Cerdik.

“Kita sudah melihat kegagalan kerajaan mengagihkan 150,000 komputer riba. Kelewatan itu, perbezaan antara kawasan Parlimen dan banyak lagi. Ini tidak patut berulang.”

Menyatakan kebimbangan berhubung spesifikasi dan kualiti tablet berkenaan, beliau berkata, penuntut universiti memerlukan komputer riba berkualiti, bukannya tablet.

Beliau menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, secara telus menjelaskan perincian inisiatif terbabit.

Teo dan Ahli Parlimen PH lain mengulas berhubung kenyataan Annuar, di Twitter, pada Ahad, bahawa pihak kementerian sedang membangunkan portal bagi pendaftaran secara dalam talian bagi inisiatif itu. Beliau turut memuat naik beberapa gambar hiasan memaparkan tablet itu.

Bagaimanapun, ciapan Twitter itu mengundang kritikan warganet yang mempersoalkan kualiti tablet, termasuk spesifikasi teknikal peranti berkenaan, dan proses perolehan tender bagi inisiatif itu.

Annuar kemudian menjelaskan dalam ciapannya, hari ini, dengan berkata, gambar dimuat naik dalam ciapan terdahulu bukannya gambar peranti sebenar, sebaliknya sekadar contoh.

Katanya, proses perolehan tender terbuka untuk program itu masih berjalan.

“KKMM komited untuk menyediakan peranti yang berkualiti dan daripada jenama yang diyakini pengguna,” katanya.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
1FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
19,122
Total active cases
Updated on May 28, 2023 1:07 am

Latest Articles

Skip to toolbar