JOHOR BAHRU: Seorang penunggang makanan ehailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis (19 Mei) atas dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar dengan menghantar imej dan video lucah menggunakan aplikasi Instagram dua tahun lalu. Muhammad Khair Ma'ani, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, yang kemudiannya menetapkan 19 Jun ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman. Muhammad Khair didakwa menggunakan aplikasi Instagram atas nama mkdaniel untuk secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi, dalam bentuk gambar dan video lucah, dengan niat menyinggung perasaan orang lain.
Kesalahan itu dilakukan di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah di sini, kira-kira jam 8.50 pagi, 25 Jan 2020. Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala Muhammad Khair tidak diwakili peguam.
Sumber : Bernama
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter