22 C
Malaysia
Wednesday, December 6, 2023

Peniaga kena marah minyak masak paket tiada stok

JOHOR BAHRU: Isu bekalan minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram (kg) di bandar raya ini yang sering terputus, bukan sahaja menimbulkan keresahan pengguna, malah peniaga.

Tinjauan di kedai runcit dan pasar besar sekitar Plentong, Johor Jaya dan Iskandar Puteri, mendapati rak atau tempat khas minyak paket berkenaan di semua lokasi terbabit kosong kehabisan stok. Notis dipasang di kebanyakan kedai dan pasar raya yang ditinjau memaklumkan ketiadaan bekalan bahan itu.

Peniaga kedai runcit di Plentong yang hanya mahu dikenali sebagai Jadirman, 22, berkata stok minyak masak paket yang sering terputus bekalan dan tidak konsisten itu menyebabkan pengguna, terutama B40 kecewa dan mempertikaikan keadaan itu.

“Saya turut bingung stok minyak masak paket semakin sukar diperoleh walaupun sudah membuat pesanan kepada pembekal. Sudah puas dimarahi pengguna yang tuduh pekedai menyembunyikan minyak paket, padahal bekalan memang tiada walaupun sudah dipesan pada pembekal.

“Sudah hampir dua minggu minyak paket tidak dihantar pembekal dan menjejaskan golongan B40 yang terpaksa membeli minyak botol yang harganya lebih mahal. Saya memang hadkan pembelian hanya tiga paket minyak, tetapi biasanya semua bekalan akan habis tidak sampai tiga hari.

“Pembekal juga menghantar bekalan tidak banyak seperti dulu,” katanya ketika ditemui.

Semalam, media melaporkan minyak masak paket bersubsidi yang dijual RM2.50 sekilogram, habis di beberapa lokasi di bandar raya ini sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di Tampoi dan Pandan, mendapati beberapa kedai dan pasar raya mendakwa kehabisan stok minyak masak paket berikutan permintaan tinggi dan bekalan yang tidak banyak.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Econsave di sini, Mas Imran Adam, mengakui bekalan minyak masak paket terputus bekalan di beberapa cawangan pasar raya besar berkenaan.

“Minyak masak paket memang semakin sering terputus bekalan, bukan sekarang sahaja, malah sejak tahun lalu. Bekalan diterima juga tidak sebanyak dahulu menyebabkan beberapa cawangan kami kehabisan stok selepas hanya beberapa hari stok baharu diletakkan.

“Ia menimbulkan persoalan kerana minyak masak paket mempunyai kuota ditetapkan kerajaan, namun semakin ketara berkurangan kebelakangan ini. Pesanan dibuat juga dikurangkan pembekal yang mendakwa tidak cukup bekalan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
1FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
15,327
Total active cases
Updated on December 5, 2023 6:16 pm

Latest Articles

Skip to toolbar