PETALING JAYA: Malaysia menerima penghantaran pertama pil antiviral bagi merawat Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam kenyataan di Facebooknya, beliau berkata, sebanyak 48,000 kotak pil Paxlovid Pfizer telah dihantar kepada Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd.
“Pil itu disyorkan untuk pesakit Covid-19 yang berumur 18 tahun ke atas, yang tidak berisiko tinggi atau memerlukan terapi oksigen,” katanya.
Beliau berkata, pil itu boleh diambil sejurus ujian positif atau dalam tempoh lima hari selepas menunjukkan simptom untuk keberkesanan optimum.
“Penggunaan Paxlovid adalah satu lagi senjata melawan Covid-19.
“Ia diberikan segera selepas dikesan positif Covid-19 dan dalam tempoh lima hari gejala bermula untuk keberkesanan optimum.”
Bagaimanapun, katanya, ubat berkenaan bukan pengganti vaksin Covid-19 atau langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan.
Dalam pada itu, Hisham memberitahu Malaysiakini bahawa kotak yang diterima hari ini adalah penghantaran pertama ubatan berkenaan.
Portal itu juga melaporkan, setiap kotak itu difahamkan mengandungi 30 tablet untuk kegunaan seorang pesakit dua kali sehari.
Menurut kementerian, pesakit perlu menelan – bukan mengunyah – satu tablet putih (ritonavir) dan dua tablet merah jambu (nirmatrelvir) sekaligus.
Ubat itu mungkin mempunyai beberapa kesan sampingan, termasuk sakit sendi, muntah, cirit-birit, tekanan darah tinggi dan perubahan dalam deria rasa.
Sumber : Free Malaysia Today
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter