Seri Kembangan: Ramadan kali ini menjadi pengalaman pertama yang menyedihkan buat penyanyi Ali XPDC, 53, apabila dia tidak dapat berpuasa penuh serta melakukan solat sunat tarawih di surau berdekatan kediamannya.
Ali ditemui berkata keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan sekarang menyebabkan dia tidak boleh berpuasa seterusnya melakukan solat sunat terawih secara berjemaah di surau.
“Saya berasa amat sedih dan ralat tidak dapat berpuasa seperti tahun-tahun lalu kerana sakit dialami ini. Begitu juga, menunaikan solat tarawih secara berjemaah. Ramadan kali ini, saya diuji dengan sakit.
“Namun, alhamdulillah kini dah sihat sedikit serta boleh juga bercakap semula walaupun kurang lancar. Allah masih lagi berikan saya peluang hidup kedua serta boleh bercakap semula walau sedikit-sedikit,” katanya dalam nada sebak.
Ditanya apakah kekuatan dirinya untuk berjuang sehingga sembuh semula, Ali berkata dia sentiasa percaya apa yang berlaku ke atas dirinya dengan ujian sakit itu kerana izin Allah.
Katanya, dia hanya mampu reda dan ikhlas menghadapinya.
Ujarnya, dia juga bersyukur isteri, Sharifah Azwana Syed Joned, 50, sentiasa disisi dan menjaganya dengan baik serta penuh kasih sayang. Begitu juga dengan anak-anak yang selalu ada di sisi.
Ali berkata, dia sangat berterima kasih kepada isteri, keluarga serta orang ramai yang mendoakan kesihatannya. Ujarnya, hanya Allah saja dapat membalas semuanya dan isteri adalah ‘bidadari’ di syurga nanti.
Sementara itu, Sharifah Azwana pula berkata melihat keadaan kesihatan suaminya sekarang, dia bersyukur dan gembira. Katanya, sebelum ini suaminya terbaring di katil hospital agak lama dalam keadaan membimbangkan.
“Alhamdulillah, keadaan abang Ali nampaknya kini ada perubahan yang baik. Saya ucapkan terima kasih pada semua yang sudah mendoakannya. Cuma, tahun ini memang dia sedih kerana tidak dapat berpuasa dan menunaikan solat terawih.
“Abang Ali selalu menangis setiap kali mendengar laungan solat terawih di surau berdekatan. Tapi, nak buat macam mana sebab dia masih belum sihat sepenuhnya. Sekarang pun, setiap minggu abang Ali perlu dibawa ke Hospital Rehabilitasi Cheras untuk menjalani fisioterapi,” katanya.
Sharifah Azwana berkata suaminya tidak boleh berpuasa kerana harus meminum susu enam kali dalam sehari untuk membekalkan tenaga. Apatah lagi, Ali masih tidak boleh makan sajian berat termasuk bergantung dengan ubat-ubat hospital.
Terdahulu, Ali dan isteri, Sharifah Azwana menerima kunjungan pihak stesen radio Buletin FM bersama Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin yang menyampaikan sumbangan dan bantuan baucer RM300 sebulan untuk membeli barangan keperluan dapur di Mydin yang ditanggung selama setahun.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter