Pelaksanaan 5G di Malaysia mungkin tertangguh lagi walaupun pengendali rangkaian mudah alih (MNO), Digital Nasional Bhd (DNB) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijangka dapat mencapai kata sepakat dan persetujuan yang memuaskan semua pihak menjelang Jun ini.
Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, MNO masih mengambil pendekatan berhati-hati terhadap rancangan 5G, justeru ia berpandangan mereka tidak diberi tekanan untuk melancarkan perkhidmatan itu dalam masa terdekat, selain masih meneliti model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) atas beberapa faktor.
Katanya, faktor pertama adalah mengenai persetujuan harga dan tahap perkhidmatan, yang masih dirundingkan antara syarikat telekomunikasi (telco) dan DNB selain menunggu kelulusan SKMM.
“Tanpa jaminan kualiti perkhidmatan (QoS) dalam perjanjian tahap perkhidmatan, kami merasakan MNO bimbang bahawa sambungan 5G berpotensi lemah pada awal pelaksanaan, sekali gus mungkin tidak mencapai janji QoS syarikat telekomunikasi.
“Kedua, liputan yang lemah pada fasa awal rangkaian menimbulkan risiko kepada reputasi MNO, terutama kualiti perkhidmatan, kerana mereka perlu berhati-hati mengenakan bayaran kepada pelanggan terutama memandangkan mereka mempunyak kawalan kecil ke atas rangkaian,” katanya.
Kenanga Research berkata, walaupun kebimbangan itu sedang dibincangkan antara DNB dan MNO, ia sedikit positif bahawa DNB telah memenuhi permintaan MNO menerusi penyertaan ekuiti.
Dalam masa sama, ia menjangkakan penggunaan 5G di Malaysia akan perlahan memandangkan hanya kira-kira 10 peratus daripada jumlah pelanggan mudah alih menggunakan perkhidmatan Unifi mudah alih dan YES.
Namun, ia menjangkakan, perubahan minimum dalam beberapa bulan akan datang seandainya Unifi mudah alih dan YES kekal sebagai satu-satunya dua pengendali dengan perkhidmatan 5G.
“Selain itu, tidak semua peranti 5G serasi. Telefon tertentu seperti iPhone, belum serasi dengan rangkaian DNB, kerana perlu ada pensijilan peranti dan kemas kini perisian daripada pengeluar untuk membolehkan sambungan ke rangkaian,” katanya.
Mengenai tawaran penyertaan ekuiti sebanyak 70 peratus dalam DNB, Kenanga Research berkata, ia dilihat seperti mendorong MNO besar (Celcom, Digi, Maxis dan Umobile) terbabit sepenuhnya ke dalam model SWN.
Ia berkata, penyertaan ekuiti itu juga dilihat lebih kepada tanda muhibah kepada MNO sebagai pertukaran untuk menyokong model SWN, sekali gus menyetujui permintaan industri supaya keterangkuman yang lebih besar dalam pelancaran 5G di negara ini.