22 C
Malaysia
Monday, September 26, 2022

Pakar automotif jelaskan mengapa Elon Musk pilih Indonesia

Pilihan Tesla Inc untuk melabur di Indonesia berbanding Malaysia bukanlah satu kejutan malah keputusan itu sememangnya boleh dijangka disebabkan faktor-faktor tertentu, kata beberapa pakar automotif.

Malahan kata mereka, keputusan itu tidak mencerminkan kegagalan Malaysia untuk menarik perhatian pelabur asing memandangkan negara ini masih berupaya memikat sejumlah pelaburan berkualiti dari negara luar.

Pengarang Urusan DSF.my Daniel Fernandez, berkata antara faktor utama yang mendorong kepada keputusan itu adalah disebabkan dasar automotif negara (NAP) yang kurang jelas berbanding dasar automotif negara jiran.

Katanya, faktor ini bukan saja menyebabkan Tesla kurang berminat melabur di Malaysia, malah ia juga merangkumi syarikat-syarikat automotif lain.

“Di Indonesia, Thailand dan Singapura, mereka menerangkan secara jelas apakah insentif yang disediakan kepada syarikat automotif antarabangsa sekiranya melabur di negara-negara tersebut,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini membolehkan syarikat-syarikat terbabit merancang secara lebih terperinci sebelum membuat keputusan melabur ke negara pilihan mereka.”

Mengulas lanjut mengenai NAP, Pengarang Urusan PISTON.my Chips Yap berkata, dasar itu dianggap sebagai sebuah dasar yang “melindungi” jenama kenderaan tempatan oleh syarikat automotif asing dan ini menghasilkan persepsi Malaysia sebagai pasaran yang berat sebelah.

Menurut Yap, syarikat automotif asing melihat NAP ibarat usaha menjemput mereka melabur di Malaysia tetapi menghadkan jualan supaya produk tempatan diberi kelebihan.

“Justeru, situasi ini akan mendorong pelabur pasaran yang lebih terbuka seperti Indonesia dan Thailand kerana mereka tidak mempunyai produk tempatan.

“Tambahan pula Indonesia mempunyai pasaran yang lebih besar, itu sahaja boleh menjadi faktor untuk menarik perhatian pelabur,” katanya.

Namun begitu, Yap menegaskan bahawa dasar tersebut tidak bermaksud syarikat automotif asing menolak Malaysia sepenuhnya, cuma pelaburan mereka dilakukan dalam jumlah sedikit.

Dalam pada itu, Fernandez turut berpandangan kerajaan mungkin lebih tertumpu kepada pelaburan dalam bidang lain seperti industri teknologi maklumat (IT) memandangkan negara ini menerima banyak pelaburan dalam sektor tersebut.

“Mungkin kerajaan tak kejar syarikat kereta untuk buka kilang di sini sebaliknya lebih gemar sekiranya syarikat antarabangsa melakukan pemindahan teknologi ke Malaysia.

“Kita ada kepakaran, malah baru-baru ini Foxconn (Hon Hai Precision Industry Co., Ltd) telah membuat pengumuman untuk melabur di Malaysia,” tambahnya.

Baru-baru ini, gambar pertemuan antara Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk dan Presiden Indonesia, Joko Widodo tular di media sosial, menyebabkan ramai dalam kalangan netizen menyindir kerajaan termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Mereka menganggap pertemuan itu seolah-olah syarikat asing lebih gemar melabur di negara jiran berbanding Malaysia.

Menjawab kepada kritikan itu, Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini menjelaskan Malaysia juga sedang berbincang dengan Starlink, penyedia Internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pendaman rendah yang dikendalikan oleh syarikat aeroangkasa milik Musk, iaitu SpaceX.

Selain itu, beliau turut menyatakan kerajaan menerusi Misi Galakkan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat (AS) oleh kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) berjaya menarik pelaburan berjumlah RM16.52 bilion.

Sementara itu, Pengarang Urusan Careta.my Hezeri Samsuri menjelaskan antara sebab Musk memilih Indonesia adalah disebabkan negara itu mempunyai kobalt, bahan mineral yang diperlukan untuk menghasilkan bateri.

“Justeru, satu dunia faham kenapa Elon Musk pilih Indonesia. Sebab mereka ada bahan mineral itu dan tak boleh mengeksport dan perlu memprosesnya dalam negara itu sendiri.

“Jika mereka gagal dapatkan pelaburan Tesla, tidak mustahil mereka akan menarik perhatian syarikat seperti Samsung atau LG untuk membuka kilang di negara itu,” katanya.

Menurut Hezeri, Malaysia masih dianggap sebagai pasaran yang menarik untuk menjual kereta memandangkan banyak syarikat automotif asing sebelum ini datang berbincang dengan agensi kerajaan untuk mengetahui cara-cara untuk menapak di negara ini.

“Walaupun nisbah penduduk kita tidak seramai Thailand dan Indonesia, di Malaysia, tempahan kereta premium seperti BMW mampu mencecah lebih 1,000 unit.

“Malah, Hyundai dan Volvo juga tidak cukup stok dan pembeli perlu menunggu berbulan-bulan sebelum menerima kereta yang dibeli,” katanya.

Hezeri berkata, ini bermakna pengguna di Malaysia lebih memahami mengenai teknologi dan mudah untuk mengadaptasi dengan teknologi baru.

“Tambahan pula kita ada Proton dan Perodua, ini terbukti kita sudah ada kemahiran dan kepakaran yang lebih tinggi berbanding negara jiran,” tambah beliau.

Sumber : MalaysiaNow

Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
0FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
24,532
Total active cases
Updated on September 26, 2022 12:45 pm

Latest Articles

Skip to toolbar