ALOR SETAR: Pelajar tahun akhir Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Nabilah Mohd Azahar, 25, yang terbabit kemalangan ketika menjalani latihan industri di Curacao, Caribbean pada Disember lalu, selamat tiba di tanah air, kelmarin.
Pesawat membawa Nur Nabilah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8 malam, sebelum pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan itu terus dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ketibaan Nur Nabilah disambut Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed; bersama pegawai kanan Wisma Putra serta ibu bapanya, Mohd Azahar Zakaria, 58, dan Nor Manira Khalib, 57.
Haim Hilman berkata, pihaknya bersyukur kerana Nur Nabilah selamat pulang ke tanah air bagi mendapatkan rawatan susulan terhadap kecederaan dialaminya.
“Terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar serta semua pihak yang membantu UUM dalam urusan rawatan Nur Nabilah.
“Nur Nabilah akan meneruskan rawatan susulan di HCTM UKM. Saya berharap Nur Nabilah dan keluarganya tabah serta kuat semangat untuk meneruskan rawatan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam insiden pada 28 Disember lalu, Nur Nabilah terbabit kemalangan ketika menjalani latihan industri di Dive Division Curacao, Caribbean.
Beliau berlepas ke negara itu pada September 2021 bagi menjalani latihan industri selama enam bulan.
Sementara itu, Nor Manira turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu urusan rawatan Nur Nabilah yang sebelum ini dirawat di Curacao.
“Alhamdulillah, akhirnya anak saya dapat dibawa pulang atas kerjasama semua pihak. Saya amat bersyukur dapat melihat anak kembali dengan selamat.
“Kami berterima kasih tidak terhingga kepada pihak UUM yang sentiasa berhubung dan bertanyakan perkembangan Nur Nabilah hingga kini,” katanya.
Sumber : Berita Harian
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter