Orang ramai mulai sibuk membuat persediaan dengan membeli barangan keperluan bagi menyambut kedatangan Ramadan, esok.
Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, mendapati orang ramai berpusu-pusu datang ke pasar seawal 8 pagi tadi.
Kemeriahan juga dapat dirasai apabila jumlah pengunjung lebih ramai susulan negara melalui peralihan fasa ke endemik, namun kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Suri rumah, Siti Zawinah Zainal Abidin, 57, berkata dia membuat persiapan Ramadan seperti biasa dengan membeli barangan keperluan di pasar yang terletak berdekatan dengan rumah.
“Saya hanya membeli barang keperluan ala kadar sahaja dan sudah menyenaraikan barang-barang yang perlu bagi mengelakkan pembaziran selain mahu berjimat.
“Orang ramai tidak hanya tertumpu di pasar basah untuk membeli barangan keperluan harian kerana pasar raya turut sesak.
“Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana semua orang mahu membeli stok yang cukup supaya tidak kerap keluar dalam bulan puasa,” katanya ketika ditemui di RTC Tunjong, di sini, hari ini.
Penjawat awam, Nina Farhana Ishak, 32, berkata kemeriahan Ramadan pada tahun ini adalah berbeza berbanding dua tahun lalu kerana ketika itu negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya hanya melakukan pembelian biasa dan tidak perlu panik kerana bukannya ada sekatan untuk membeli barangan keperluan seperti sebelum ini.
“Namun yang paling penting adalah sentiasa mematuhi SOP meskipun kini sudah berada dalam peralihan fasa ke endemik.
“Saya datang awal ke pasar membeli barangan keperluan kerana tidak mahu bersesak-sesak dan sudah membuat perancangan dengan menyenaraikan barangan yang akan dibeli,” katanya.
Sementara itu, peniaga ayam, Zarina Abdullah, 53, berkata pengunjung yang datang ke pasar pada hari ini lebih ramai berbanding sebelum ini kerana masing-masing membuat persiapan untuk menyambut Ramadan.
“Bekalan ayam juga mencukupi untuk menampung keperluan pembeli untuk persiapan Ramadan, esok,” katanya.