Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) menerusi Edaran Modenas (EMOS) kini menambah porftfolio rangkaian pengedarannya sebagai pengedar eksklusif motosikal Kawasaki dari Jepun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Roskan berkata, tempoh peralihan daripada KMSB Motors berakhir pada 31 Mac lalu untuk proses pemerhatian, mempelajari dan menyesuaikan sepenuhnya operasi perniagaan bersama rakan kongsi teknikalnya Kawasaki Motors Ltd (KMC).
“Pemilik motosikal Kawasaki tidak perlu bimbang kerana melalui pengurusan baharu ini tahap kualiti produk dan perkhidmatan selepas jualan akan dikekalkan malah kami akan memperluas operasi, membangun, mengeluar dan menjual motosikal Kawasaki.
“Selain itu Modenas akan memperkenalkan model terbaharu dan bilik pameran eksklusif Kawasaki yang baharu secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi pegangan ekuiti lebih besar, Kawasaki akan berperanan secara aktif dalam operasi Modenas serta akan mula memasang model-model terpilih serta turut mengimport model berkuasa lebih tinggi untuk pasaran lebih luas.
KMC kini memiliki 30 peratus ekuiti dalam Modenas bersama DRB-Hicom Berhad sebagai pemegang saham majoriti syarikat motosikal nasional itu.
Untuk menyegarkan semangat “Let The Good Times Roll’ Kawasaki, Ketua Pegawai Pemasaran Modenas, Yusaku Kashiwagi dilantik bagi menghidupkan kembali jenama ini yang mempunyai sejarah lebih 30 tahun di Malaysia.
Menurut Yusaku, lebih sedekad lalu kehidupan rakyat Malaysia berubah dan permintaan terhadap motosikal juga semakin tinggi melebihi sebagai keperluan harian.
“Ia kini menjadi jentera untuk kepuasan tunggangan, dan bersama Modenas kami yakin produk-produk yang bakal ditawarkan Kawasaki akan memenuhi keperluan dan jangkaan mereka untuk jentera dua roda,” katanya.
EMOS bukan sahaja akan menjual motosikal, malah akan turut mengedarkan alat ganti dan aksesori Kawasaki di Malaysia selain menyediakan perkhidmatan pelanggan untuk semua isu teknikal atau panggilan semula menerusi 13 pengedar di seluruh negara buat masa ini.