JOHOR BAHRU: Bukan saja bebas menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menceroboh tanah rizab, tujuh warung yang diusahakan oleh warga asing di Taman Desa Cemerlang juga didapati dalam keadaan menjijikkan.
Jurucakap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, semua warung itu diroboh mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, hari ini kerana mendirikan struktur bangunan di tempat awam tanpa kebenaran.
Beliau berkata, operasi merobohkan gerai di Jalan Istimewa dan Jalan Gemilang itu dijalankan bermula jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang bersama anggota PDRM Johor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan turut dilaksanakan kerana warung dan gerai berkenaan diusahakan oleh warga asing sama ada ia disewakan atau sebaliknya, selain tindakan ke atas warung yang usang dan terbiar.
“Pemerhatian di tapak mendapati gerai berkenaan dalam keadaan yang kotor dan berbau busuk.
“Struktur gerai yang diroboh ini dibina di hadapan pintu pencawang TNB sehingga menyukarkan pihak TNB untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya menerusi siaran media.
Beliau berkata, operasi meroboh gerai haram ini akan dijalankan secara berkala oleh MBJB supaya warga bandar raya lebih peka dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Dalam operasi berkenaan, pihak polis turut menahan kenderaan yang dipandu oleh warga asing kerana memandu tanpa lesen dan dibawa ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sumber : Berita Harian
Dapatkan berita-berita terkini dan viral di page kami. Jangan lupa untuk menekan butang subscirbe, follow dan like di page rasmi kami :
Like : Facebook
Follow : Twitter
Subscribe : Youtube