21.4 C
Malaysia
Monday, September 26, 2022

Malaysia, Indonesia meterai MoU pengambilan tenaga kerja

Malaysia dan Indonesia hari ini, memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.

Pemeteraian MoU di Istana Merdeka di Jakarta itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Majlis menandatangani MoU berkenaan diwakili oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan bagi Malaysia dan Menteri Ketenagakerjaan Ida Fauziyah bagi pihak Indonesia.

Ketika sidang media bersama Joko Widodo, Ismail Sabri memaklumkan, pemeteraian MoU itu bakal merintis kepada kemasukan semula Tenaga Kerja Indonesia (TKI) untuk bekerja dalam sektor yang dibenarkan di Malaysia.

Jelasnya, MoU itu antara lain memutuskan untuk menggunakan sistem saluran tunggal bagi kemasukan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia bagi membolehkan saringan kepada hanya majikan yang layak menggajikan PDI.

Selain itu, kata Ismail Sabri, MoU itu juga akan memastikan segala proses pengambilan dan mekanisme perlindungan PDI dilaksanakan secara komprehensif oleh pihak berkaitan mengikut dasar dan perundangan di kedua-dua negara.

“Pemeteraian MoU ini adalah satu detik yang besar dan penting kerana ia adalah komitmen berterusan pemerintah Malaysia dan Indonesia untuk memberi manfaat besar dan berpanjangan kepada rakyat kedua-dua negara.

“Sebagai negara tetangga, Malaysia sentiasa menghargai dan mengalu-alukan sumbangan pekerja migran Indonesia terhadap pembangunan ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di Jakarta.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menyatakan komitmen Malaysia untuk memberi perlindungan kepada pekerja migran Indonesia, selaras langkah Malaysia meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sebagai komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa untuk membanteras isu buruh paksa.

Kata beliau, Malaysia turut melaksanakan beberapa inisiatif bagi menjaga kebajikan pekerja domestik dari sudut perlindungan sosial, antaranya caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu, kata Ismail Sabri, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif jaminan bayaran gaji melalui e-Wages, bagi menjamin pembayaran gaji tidak lewat daripada hari ketujuh setiap bulan, selain cuti rehat sehari seminggu.

“Malaysia turut memperkenalkan aplikasi e-aduan yang membolehkan pekerja membuat sebarang aduan secara dalam talian, serta lain-lain kebajikan yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
0FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
25,278
Total active cases
Updated on September 25, 2022 5:21 pm

Latest Articles

Skip to toolbar