KULAI, 23 Mei — Seorang pembantu restoran berusia 23 tahun didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kulai atas pertuduhan melakukan khianat dengan membuang patung dewa Hindu Dewa Ganesha milik orang lain di Taman Scientex, Senai di sini pada 15 Mei.
Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin turut menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan kepada tertuduh, Gabriele Jungkak Steward jika gagal membayar denda.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah menarik patung Dewa Ganesha yang disambungkan dengan pancutan air dan merosakkannya sebelum membuangnya ke dalam tong sampah. Patung itu dilaporkan berharga RM25. Untuk itu, Gabriele Jungkak didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun, dengan denda, atau kedua-duanya sekali. Dalam rayuannya, Gabriele Jungkak berkata dia membuang patung itu kerana ia menghalang laluannya ketika dia melalui kawasan itu. Dia juga mengaku pernah membaling dan membakar patung-patung agama hiasan lain di lokasi dan waktu berbeza. Sebelum hukuman dijatuhkan, Sharifah Maleeha menasihati Gabriele Jungkak supaya belajar hidup bermasyarakat dan menghormati harta benda orang lain. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong. Gabriele Jungkak tidak diwakili di mahkamah. Pada 19 Mei, Ketua Polis Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata polis sedang mencari orang yang membuang patung Hindu ke dalam tong sampah selepas video berdurasi 42 saat kejadian itu tular di Facebook. Isu itu juga telah menimbulkan kekecohan kerana patung itu dikatakan ikon agama. Polis turut menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung rakaman kejadian pada pukul 4.30 petang, hari sama kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9 pagi di hadapan rumah pengadu. Bagaimanapun, pengadu berkata, patung Dewa Ganesh itu diletakkan di luar halaman rumahnya untuk tujuan hiasan dan bukan untuk solat.
Sumber : Malay Mail
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter