KUALA LUMPUR: Hakim mahkamah sesyen Izralizam Sanusi memberi amaran kepada orang ramai hari ini supaya tidak membuat komen di media sosial mengenai perbicaraan yang sedang dijalankan melibatkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, yang didakwa mengabaikan dan mendera seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella. Izralizam, yang mendengar prosiding perbicaraan, berkata beliau bersetuju bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak untuk kebebasan bersuara, tetapi tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang melampaui batas dalam posting mereka di media sosial. “Mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang ramai khususnya galeri awam supaya tidak membuat komen fitnah yang berunsur sub judice atau menghina mahkamah. “Jika perkara sedemikian berlaku, saya percaya pihak pendakwaan boleh mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit kerana ia jelas melanggar undang-undang menghina mahkamah dan sub judice,” katanya. Beliau berkata perbicaraan masih berjalan dan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, belum selesai memberi keterangan.
Sumber : Free Malaysia Today
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter