PETALING JAYA: Caj tambang perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia, dilihat berubah tidak menentu, baru-baru ini, berpunca daripada kekurangan pemandu yang bekerja ketika itu untuk memenuhi permintaan tinggi.
Grab Malaysia dalam kenyataan, hari ini, berkata pada pertengahan Mei lalu, jumlah pemandu di platform mereka masih dalam keadaan kurang 70% daripada keadaan sebelum pandemik.
“Kami perlu terangkan dengan jelas, bahawa kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap struktur tambang. Grab menerima pakai model harga dinamik bagi memastikan penumpang mendapat perkhidmatan penghantaran apabila mereka memerlukan, dan pemandu kami diberikan bayaran yang adil bagi tenaga dan masa mereka.
“Apabila jumlah yang menempah perkhidmatan terlalu ramai berbanding jumlah pemandu di sedia ada di kawasan tertentu, caj tambang akan melonjak bagi menggalakkan lebih ramai pemandu ‘menghala’ ke arah lokasi penumpang,” katanya memetik laporan Bernama.
Grab Malaysia berkata keadaan permintaan dan penawaran yang tidak menentu itu didorong oleh beberapa faktor, termasuk disebabkan ramai rakan-pemandu tidak lagi aktif sejak dua tahun lepas akibat Covid-19.
Pada Ahad, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, mahu syarikat pengangkutan e-hailing perlu mengemukakan alasan kepada pengguna perkhidmatan itu, susulan dakwaan berlaku kenaikan harga tambang mendadak
“Syarikat e-hailing ini kena jawab dan bagi justifikasi kenapa berlaku kenaikan harga, kita (Kementerian Pengangkutan) akan teliti sama ada jawapan mereka masuk akal atau tidak.
“Kalau katakan (tambang) RM20, tiba-tiba naik RM70 dalam keadaan sekarang, ia dilihat membebankan rakyat,” katanya.
Grab ketika mengulas lanjut, berkata susulan langkah kerajaan menarik balik pelbagai sekatan dikenakan sebelum ini, tempahan perkhidmatan di platform mereka dilihat meningkat dengan pantas, dan ini juga disebabkan oleh tempoh perayaan, baru-baru ini.
Selain itu, respons dalam kalangan pemandu bagi memenuhi permintaan yang mendadak juga dilihat agak lambat, kerana para pemandu perlu memenuhi pelbagai peraturan terlebih dahulu.
“Akhir sekali, kita lihat munculnya kesesakan lalu lintas yang cukup luar biasa. Ini meningkatkan kos (dari segi masa dan bahan api) untuk melayan setiap tempahan, dan pada masa yang sama mengurangkan keberkesanan kapasiti pemandu untuk menerima lebih banyak tempahan.
“Sementara kami berusaha untuk membawa lebih ramai pemandu menyertai kami, masalah memenuhi tempahan terus berlaku, memandangkan peningkatan dalam permintaan jauh melebihi jumlah peningkatan pemandu,” katanya.
Sumber : Free Malaysia Today
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter