Kulim: Sime Darby dan Porsche AG merasmikan kilang pemasangan pertama jenama kenderaan Porsche di luar Eropah yang terletak di Kulim, Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, selain itu model kenderaan utiliti sukan (SUV) Porsche Cayenne pemasangan tempatan (CKD) yang pertama juga dilancarkan dalam majlis ini.
“Kami berbangga diberi kepercayaan oleh Porsche untuk proses pemasangan kenderaan bagi memenuhi standard tinggi untuk kualiti, prestasi dan pengalaman pemanduan dinamik.
“Kilang ini beroperasi dengan 100 peratus tenaga kerja tempatan bukan sahaja untuk perkembangan perniagaan industri automotif malah mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.
“Ia bukti perkongsian terjalin dan dipercayai yang dibina lebih sedekad di antara Sime Darby dan Porsche,” katanya ketika majlis perasmian di sini, hari ini.
Selain mendapat latihan teknikal intensif daripada Porsche, kilang pemasangan ini disokong rangkaian pembekal dan penyedia perkhidmatan servis setempat.
Majlis dirasmikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Kilang pemasangan Porsche ini sejajar dengan Dasar Automitif Negara (NAP) 2020, yang bertujuan memajukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan automotif, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mampan.
Sime Darby dan Porsche memilih Malaysia untuk kemudahan pemasangan pertamanya di luar Eropah, menandakan keyakinan syarikat terhadap ekosistem dan kekuatan Malaysia yang kondusif untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka.
Kemudahan pertama pengeluar kereta sport global itu di Kulim ini juga mengiktiraf keupayaan bakat tempatan dan berpotensi membawa mereka memperluaskan jejak di rantau Asean.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, kerajaan akan berusaha membina persekitaran yang kondusif untuk peneraju industri dari luar dan dalam negara menjalankan perniagaan di Malaysia.
Beliau berkata, ini adalah seiring dengan kesediaan negara untuk menyediakan peluang pekerjaan jangka masa panjang dan berhubung dengan rakan kongsi teknologi yang berkebolehan.
“Dengan reputasi Porsche sebagai pengeluar kereta berprestasi tinggi yang menuntut teknologi terkini dan kejuruteraan baru, perkongsian ini sememangnya strategik kepada usaha kami untuk menggalakkan kebolehan nilai tinggi, teknologi tinggi, pengetahuan, modal dan intensif kemahiran serta pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Ia akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing dan destinasi pelaburan yang menguntungkan,” katanya.
Ahli Lembaga Eksekutif (Jualan dan Pemasaran) Porsche AG, Detlev von Platen pula berkata, kumpulan sudah meraih pencapaian yang baharu dengan melancarkan pemasangan tempatan yang pertama bagi model Cayenne dan memenuhi impian peminat kereta sport di Malaysia.
Strategi pertumbuhan Porsche juga katanya, menggariskan kepentingan Malaysia sebagai lokasi utama pengembangannya di rantau Asean.
“Ia menunjukkan keyakinan kami terhadap Sime Darby sebagai rakan kongsi yang kukuh,” katanya.