22.2 C
Malaysia
Friday, September 30, 2022

Kerana basikal lajak, saya lumpuh dan hilang kaki kiri

Johor Bahru: Bekas penunggang basikal lajak yang kini lumpuh dan kehilangan kaki kirinya akibat aktiviti itu, berazam bangkit mengubah nasib diri.

Muhammad Saad Zainuddin, 28, berkata, dia mahu memulakan hidup baru dan ingin melupakan tragedi hitam yang menyebabkannya kehilangan upaya dan lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

Lebih memilukan, kaki kirinya terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Muhammad Saad berkata, dia mahu menumpukan kepada perniagaan keluarga iaitu menjual pelbagai jenis makanan seperti nasi lemak ayam berempah dan goreng pisang di Jalan Yahya Awal, di sini, sejak lebih 20 tahun lalu.

Mengimbas tragedi itu, Muhammad Saad berkata, aktiviti itu bermula sejak berusia 11 tahun akibat gelodak jiwa yang terpengaruh dengan trend basikal lajak yang memuncak ketika itu.

Katanya, dia sanggup mengumpul duit elaun membantu ibu bapanya berniaga bagi mendapatkan barangan terpakai bagi mengubah suai basikal menjadi basikal lajak.

“Pada mulanya, saya hanya menunggang basikal lajak bersama kawan di laluan kampung berhampiran rumah, namun tidak lama selepas itu, saya mula berani menunggang di jalan utama di sekitar bandaraya ini termasuk lokasi tumpuan basikal lajak iaitu di Jalan Lingkaran Tengah, lokasi sama yang mengorbankan lapan remaja pada 2017.

“Keberanian itu akhirnya membawa padah pada 10 Ogos 2008 ketika saya berusia 14 tahun. Ketika menunggang basikal lajak di Jalan Lingkaran Tengah itu bersama tiga lagi rakan, basikal ditunggang merempuh sebuah kenderaan yang sedang parkir di tepi jalan itu.

“Ia menyebabkan saya mendapat kecederaan parah iaitu terkoyak di kepala selain pengsan di lokasi kejadian yang tidak sampai 150 meter dari tempat kejadian lapan remaja basikal lajak yang maut.

“Saya hanya tersedar apabila sedang dirawat di hospital. Pada mulanya, doktor yang merawat hanya mensyaki saya mengalami hilang ingatan. Namun apabila menjalani pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan saya lumpuh dari pinggang akibat kecederaan serius pada tulang belakang,” katanya ketika ditemui.

Muhammad Saad berkata, dia tidak dapat menerima takdir itu apatah lagi doktor memaklumkan dia mungkin akan lumpuh seumur hidup.

Apabila kaki kirinya juga terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman, dia berkata, dirinya seperti hilang semangat untuk hidup.

“Saya mengalami kemurungan selama tiga tahun selepas tragedi itu dan trauma untuk keluar rumah.

“Bagaimanapun, sokongan dan dorongan kuat ahli keluarga dan teman rapat akhirnya berjaya memulihkan kemurungan dan semangat saya. Walaupun, saya kehilangan upaya keluarga terutama ibu, ayah dan adik beradik terus membantu saya termasuk untuk menguruskan diri terutama untuk ke bilik air.

“Kini saya mahu bangkit memulakan hidup baru walaupun lumpuh dan hilang upaya. Saya kini ditugaskan menjaga kaunter di kedai makan diusahakan keluarga yang dibuka mulai jam 7 pagi hingga 12 tengah malam.

“Apabila bekerja sepenuh masa seperti ini, saya mula mendapat semangat baru dan mahu melupakan episod hitam yang melanda hidup saya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Saad turut menitipkan pesanan supaya remaja meninggalkan aktiviti basikal lajak yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Ambil iktibar kisah saya yang kini lumpuh dan hilang upaya. Lupakanlah basikal lajak. Keseronokan hanya sementara, jika terbabit kemalangan, kita akan merana seumur hidup.

“Pengalaman yang saya lalui ini bukan membanggakan, ia cukup pahit dan menyakitkan namun menginsafkan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
0FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
24,713
Total active cases
Updated on September 29, 2022 4:14 pm

Latest Articles

Skip to toolbar