22 C
Malaysia
Wednesday, December 6, 2023

Kematian Baby Adam tiada unsur jenayah, kata polis

KUALA LUMPUR: Siasatan polis sebelum ini mendapati kematian bayi lelaki berusia 10 bulan bernama Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim atau Baby Adam pada 2020, tiada sebarang unsur jenayah.

Dapatan itu hasil penelitian polis terhadap laporan bedah siasat ke atas Adam yang dikeluarkan pihak Hospital Kuala Lumpur yang menunjukkan sebab sebenar kematiannya adalah disebabkan pneumonia (radang paru-paru).

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata laporan bedah siasat turut menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kematian bayi terbabit.

Menurutnya, semakan pihaknya turut mendapati satu laporan dibuat oleh pemilik Rumah Bonda berhubung kematian Adam.

“Semakan menyeluruh berhubung kejadian yang membabitkan Rumah Bonda dibuat ekoran laporan yang membabitkan mangsa kanak-kanak bernama Bella.

“Ia menjadi ‘trigger point’ (pencetus) untuk kita semak semua apa lagi kes-kes yang dilaporkan serta isu-isu lain berkaitan Rumah Bonda,” katanya kepada BH, hari ini.

Tambah beliau, semakan mendapati terdapat sekurang-kurangnya 10 laporan polis diterima terhadap pemilik Rumah Bonda terutamanya selepas kes berkaitan Bella dilaporkan.

“Ada kes-kes yang dibuka kertas siasatan dan ada kes yang tidak dibuka kertas siasatan kerana didapati tiada unsur jenayah, termasuk laporan membabitkan kematian Baby Adam yang dibuat sendiri oleh pemilik Rumah Bonda, kita semak juga.

“Hasil semakan kita mendapati laporan bedah siasat oleh doktor mengesahkan kematian disebabkan oleh pneumonia dan tidak ada unsur-unsur jenayah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak polis akan meneliti dan melihat lebih lanjut perkara itu susulan satu laporan polis yang diterima polis hari ini meminta polis membuka semula siasatan terhadap kematian Adam.

Katanya, beliau amat berterima kasih atas keprihatinan pelbagai pihak terhadap isu berkaitan kanak-kanak termasuk kematian bayi berkenaan.

Terdahulu, dilaporkan Pejuanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat satu laporan polis di Balai Polis Setiawangsa di sini, meminta polis membuka semula siasatan membabitkan kematian Adam.

Ketua Pejuanita Wilayah Persekutuan, Bibi Sunita S Khan, dilaporkan berkata kematian Baby Adam pada 3 Mei 2020 didakwa ada kaitan dengan isu penderaan di pusat perlindungan Rumah Bonda di Taman Setapak di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan polis itu pada jam 10.30 pagi tadi berkaitan kematian seorang bayi pada 3 Mei 2020 di bawah jagaan Rumah Bonda.

“Pengadu mendakwa kematian bayi itu disyaki ada unsur penderaan seperti yang berlaku kepada Bella, maka pihak polis akan menjalankan siasatan rapi berkaitan aduan ini agar perkara ini dapat dijelaskan dengan baik terhadap masyarakat,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
1FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
15,327
Total active cases
Updated on December 5, 2023 6:16 pm

Latest Articles

Skip to toolbar