Kasih sayang seorang isteri tiada galang ganti apabila sanggup berhenti kerja demi mahu berada di sisi suami yang jatuh sakit.
Begitu pengorbanan dilakukan Nor Aini Sallehuddin, 48, kerana menjaga suaminya, Izani Harun, 57, yang lumpuh sebelah kanan badan akibat angin ahmar sejak 2017.
Nor Aini berkata, dia berhenti kerja sebagai penoreh getah dan pembantu di sebuah kedai makan sejak lima tahun lalu bagi memberi sepenuh perhatian kepada suaminya.
“Suami mengalami kekejangan saraf dan rebah secara tiba-tiba ketika bekerja di Perak. Sejak itu, kami sekeluarga pulang ke kampung halaman bagi memudahkan rawatan.
“Selain angin ahmar, suami juga menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis yang memerlukannya mengambil ubat-ubatan setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Merabang, di sini.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) Akidi Hamid.
Nor Aini berkata, akibat serangan angin ahmar itu, suami kini hilang upaya untuk berjalan dengan sempurna dan perlu bergantung kepada orang sekeliling mahupun kerusi roda untuk bangun atau bergerak.
“Bagaimanapun, keadaan suami semakin baik apabila dia mampu berdiri walaupun dalam keadaan terketar-ketar berbanding hanya terbaring sebelum ini selepas menjalani rawatan fisioterapi.
“Setiap hari saya dan anak-anak sentiasa memberi kata-kata semangat selain kami tidak pernah putus berdoa agar suami kembali sihat,” katanya.
Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, mereka hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain anak-anak yang bekerja kampung turut menghulurkan wang belanja.
“Saya perlu berjimat-cermat dan kami sekeluarga hanya makan ala kadar sahaja kerana mempunyai dua lagi anak berusia 12 dan 15 tahun yang masih bersekolah,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi anak Nor Aini iaitu Malikah Izani di talian 019-5516946.
Sumber : Harian Metro