31.3 C
Malaysia
Sunday, September 25, 2022

Insiden MH2664: Penumpang mohon siasatan telus dilakukan

Tawau: Tiga penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH2664 pada 3 April lalu meminta Malaysia Airlines Berhad serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia menjalankan siasatan telus berhubung insiden cemas pesawat itu.

Penumpang terbabit iaitu Abdul Rahim Awang Nong, 48, Halimah Nasoha, 39, dan Chui Ka Wai, 48, yang masing-masing tampil membuat laporan polis semalam, turut mendesak laporan terperinci siasatan didedahkan kepada umum.

Mereka tidak bersetuju dengan kenyataan Malaysia Airlines disiarkan pada 5 April lalu yang menyatakan, penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Tawau berpatah balik ke KLIA, disebabkan isu teknikal dan keadaan cuaca buruk.

Abdul Rahim berkata, keadaan cuaca pada ketika itu baik dan juruterbang juga memadamkan lampu isyarat tali pinggang, selain pramugari sedang menghidangkan makanan sebelum tiba-tiba pesawat hilang kawalan.

“Saya yakin kedudukan pesawat menjunam, ketika itu saya hanya ingat mati dengan penumpang lain menjerit dan menangis ketakutan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Halimah mendakwa beliau melambung dari tempat duduknya ketika insiden cemas itu berlaku dan sehingga kini masih berasa trauma dengan kejadian kira-kira 10 minit itu.

“Cuaca sangat baik ketika itu, dan saya ada ambil gambar beberapa minit sebelum kejadian, langit biru, tidak ada hujan, cerah panas.

“Seharusnya siasatan terperinci perlu dilakukan dengan segera ke atas rakaman kotak hitam, kerana ia membabitkan keselamatan awam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Chui berkata, berikutan insiden itu menyebabkan dirinya mengalami masalah tidur kerana masih terbayang dengan situasi berkenaan.

“Sehingga kini dada saya masih sakit, pada ketika itu saya lepas minum dan mahu melelapkan mata tiba-tiba pesawat jatuh, saya melambung, saya pun ingat waktu itu mati, sewaktu selamat mendarat dan keluar pesawat pula, saya perhatikan semua penumpang muka pucat,” katanya.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat bukan untuk menuntut ganti rugi daripada Malaysia Airlines, tetapi mendesak agar mengeluarkan kenyataan betul kerana keadaan cuaca pada ketika itu adalah baik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan pihaknya menerima laporan itu, dan polis sedang menjalankan siasatan terhadap perkara itu.

Sumber : Harian Metro

Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
0FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
25,278
Total active cases
Updated on September 25, 2022 7:04 am

Latest Articles

Skip to toolbar