JAKARTA: Kira-kira 19 juta dos vaksin COVID-19 dalam stok simpanan kebangsaan Indonesia sudah tamat tempoh tahun ini dan 1.5 juta dos lagi menghampiri tarikh luput bulan depan.
Hari ini, pihak berkuasa berkata kebanyakan vaksin COVID-19 yang didermakan mempunyai jangka hayat yang pendek atau sudah menghampiri tarikh luput.
Indonesia dan banyak negara membangun kini mempergiatkan kempen vaksinasi, dibantu oleh derma bekalan vaksin daripada negara kaya, namun mereka berharap vaksin yang dihantar mempunyai jangka hayat yang lebih lama.
Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan, Lucia Rizka Andalusia, memberitahu Parlimen bahawa 97 peratus daripada 19.3 juta dos vaksin luput tarikh penggunaan antara Januari dan Mac lalu didermakan negara lain.
Kebanyakan yang sudah luput tarikh adalah vaksin AstraZeneca selain Moderna dan Indonesia juga menerima derma vaksin menerusi skim perkongsian vaksin global, COVAX, dan negara seperti Australia serta Amerika Syarikat (AS).
Kakitangan Kementerian Luar, I Gede Ngurah Swajaya, turut memberitahu Parlimen bahawa Indonesia akan berhenti menerima derma vaksin sehingga April ini dan memaklumkan negara penderma supaya vaksin yang diberi harus berbaki sekurang-kurangnya dua pertiga jangka hayatnya.
Persekutuan GAVI yang mengendalikan skim COVAX bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), memberitahu Reuters bahawa COVAX ‘hanya menghantar vaksin yang sudah dipersetujui negara selepas mengetahui sepenuhnya jenis vaksin, jangkaan penghantaran dan jangka hayat vaksin’.
Agensi Makanan dan Ubat-Ubatan Indonesia, awal bulan ini berkata ia melanjutkan tarikh luput beberapa jenis vaksin termasuk AstraZeneca dan Sinovac, selepas menyemak data sedaia ada mengenai keberkesanannya.
Menurut pegawai Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), negara miskin sudah menolak lebih 100 juta dos vaksin COVID-19 diedarkan COVAX Disember lalu, kebanyakannya kerana sudah menghampiri tarikh luput. – REUTERS