Kuala Lumpur: Iklan Raya Monsta 2022: Kembali Aidilfitri berjaya ‘trending’ dan tular dengan meraih lebih 1.5 juta tontonan di YouTube dalam tempoh sehari selepas dimuat naik.
Menurut Pengarah Pemasaran Agensi dan Pengedaran Monsta, Faiz Zainal Aabidin, sambutan luar biasa itu cukup besar maknanya buat Monsta dan terharu mesejnya diterima baik.
“Walaupun iklan raya kali ini menekankan tentang kepentingan menyambut Aidilfitri dengan yang tersayang, ia turut mengajak kita untuk sentiasa mengingati mereka yang sudah tiada.
“Selain itu, melihat kepada tema balik kampung dipertontonkan, iklan ini diharap memberi keriangan kepada penonton yang merindui suasana pulang kampung halaman untuk meraikan raya bersama sanak saudara.
“Secara tidak langsung, ini sebuah hadiah istimewa Monsta buat peminat setia yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti kepada siri animasi BoBoiBoy dan Mechamato,” katanya.
Menariknya, iklan terbabit berada di tempat pertama YouTube ‘trending’ menewaskan muzik video Kelepok Raya nyanyian Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Shahida yang dilancarkan beberapa hari lalu.
Di Twitter, #KembaliAidilfitri turut ‘trending’ di Malaysia dan Indonesia sejurus selepas iklan berkenaan ditayangkan.
Di Facebook rasmi BoBoiBoy, ia berjaya meraih lebih 2,700 perkongsian dan lebih 9,400 tanda suka.
Manakala di aplikasi TikTok pula, video-video yang menggunakan hashtag #KembaliAidilfitri sudah mencecah lebih dari 37 juta tontonan.
Iklan berdurasi selama lapan minit itu memaparkan keriangan BoBoiBoy dan rakan-rakan serta Tok Aba dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka di Kota Hilir.
Rata-rata warga maya tersentuh dan berasa hiba melihat Tok Aba mengimbau kembali kenangan mesra bersama Amato dan Umi selain merindui kehadiran mereka disisinya.
Sumber : Harian Metro / Monsta
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter