Harga bufet Ramadan di hotel di sekitar bandar raya ini mengalami kenaikan harga antara 10 hingga 20 peratus berbanding tahun lalu.
Pengurus Jualan Kanan Aman Sari Residence Resort Seri Alam, Hazuin Hamid berkata, kenaikan harga itu berikutan berlakunya peningkatan harga barang mentah ketika ini namun ia masih pada kadar yang berpatutan.
Beliau berkata, ia bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai suasana berbuka puasa di hotel selepas negara beralih ke fasa endemik.
“Hotel ini menawarkan harga bufet serendah RM90 bagi dewasa untuk tempahan awal (early bird) berbanding RM85 pada tahun lalu serta menawarkan sebanyak 150 pilihan makanan.
“Tempahan awal boleh dilakukan sehingga 4 April bagi bufet Citarasa Ramadan yang dimulakan pada 6 April hingga 1 Mei mulai 6.30 petang hingga 9 malam.
“Sajian ditawarkan termasuk gulai kawah daging, gulai kawah ayam kerutuk, gulai kawah kambing, gulai kawah paru, gulai kawah kepala ikan dan sup gearbox,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Pemasaran Renaissance Johor Bahru Hotel, Hezrin Ali berkata, harga buffet Ramadan di hotel berkenaan meningkat daripada RM158 (tahun lalu) ke RM168 pada tahun ini.
Menurutnya, pada tahun lalu, hotelnya hanya membenarkan bawa pulang (take away) manakala pada tahun ini membenarkan makan di hotel.
Katanya, sebanyak 250 tempat duduk disediakan dan pihaknya juga sentiasa mengambil langkah pematuhan SOP demi keselamatan ramai.
“Pada hari ini saja kami menerima 100 tempahan untuk menikmati bufet dan dijangka ia meningkat. Kami menawarkan pelbagai menu kegemaran ramai,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, harga bufet Ramadan di beberapa hotel di bandar raya ini termasuk Hotel Holiday Villa adalah RM98 bagi tempahan awal manakala harga biasa RM128, Hotel Impiana Senai (RM99) selain beberapa hotel turut menawarkan harga bufet antara RM80 hingga RM120.