Hafizh kagum jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade

0
109

Kuala Lumpur: Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah kagum dengan jentera baharu Honda CBR1000RR-R Fireblade yang akan digunakannya pada penampilan pertama di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bersama Mie Racing Honda.

Penilaian itu dilakukannya selepas mengharungi ujian pra musim selama dua hari di Litar Catalunya, Sepanyol yang berakhir semalam.

Sesi ujian dua hari berlangsung dengan keadaan cuaca tidak menentu dan Hafizh melengkapkannya dengan berada di tempat ke-30 daripada 33 pelumba, mencatatkan masa sepusingan 1 minit 45.539 saat.

Pelumba berusia 27 tahun itu mengakui segala-galanya masih baharu untuknya terutama bagi mengenali karakter jentera Honda kerana sebelum ini dia hanya mempunyai pengalaman beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP).

“Tanggapan pertama saya mengenai Superbike Honda sangat menakjubkan memandangkan saya tidak pernah berpeluang menunggang motosikal ini.

“Semuanya baharu, bukan saja motosikal tetapi juga tayar, suspensi dan kru. Jadi kami semua perlu mengenali antara satu sama lain.

“Ia akan mengambil masa untuk memahami segala-galanya, jadi secara asasnya, di sepanjang satu setengah hari pertama dalam keadaan litar kering, kami hanya memasuki trek untuk pelarasan asas dan menggunakan pelarasan sama, tanpa menukar apa-apa.

“Adalah amat penting buat saya untuk mencatat beberapa catatan masa dan pada penghujungnya, apabila kami mahu menukar tayar baharu, hujan mulai turun. Saya berasa selesa dalam keadaan litar basah tetapi sudah pasti kami mahukan lebih baik dalam keadaan litar kering dan lebih pantas berbanding di sini.

“Kami akan berusaha dengan elektronik dan melakukannya di Aragon. Saya pasti kami akan lebih pantas dan mampu mengurangkan jurang masa yang ada. Kami juga berpeluang untuk mencuba pelbagai jenis tayar, spesifikasi yang lebih lembut yang tidak ada keperluan diuji di sini. Saya amat menantikan untuk ke Aragon dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya yang beraksi dalam kelas WorldSBK.

Hafizh dijadual menyertai satu lagi ujian di Litar Aragon dari 4 hingga 5 April ini dan ia akan menjadi pentas terakhir ujian sebelum saingan musim membuka tirainya di litar sama tiga hari kemudian.

Sumber : Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here