NEW YORK: Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) akan memutuskan keputusan pemilihan strain COVID-19 yang akan digunakan bagi komposisi terbaru dos penggalak.
Pengarah Pusat FDA Evolusi Biologi dan Penyelidikan, Peter Marks, berkata keputusan itu dijangka akan dikeluarkan antara Mei hingga Jun ini.
Beliau berkata, panel terdiri daripada pakar luar akan turut membincangkan keperluan dos penggalak tambahan selepas data dari Israel menunjukkan dos keempat dapat mengurangkan risiko kadar jangkitan COVID-19 di kalangan warga emas.
“Panel penasihat ini bagaimanapun tidak akan membuat undian ke atas mana-mana vaksin namun perbincangan lebih tertumpu kepada strategi bagi penggunaan dos penggalak pada masa hadapan.
“Data yang dibentangkan kepada panel menunjukkan bahawa keberkesanan vaksin berkurangan bagi menghalang jangkitan varian Omicron tetapi lebih berkesan dalam mencegah penyakit berbahaya.
“Komposisi terbaru dos penggalak ini juga perlu disesuaikan sekali gus selari dengan kemunculan varian baharu COVID-19,” katanya.
Data yang menunjukkan perlindungan vaksin berkurangan dari semasa ke semasa, mendorong pegawai kesihatan AS untuk membenarkan pemberian dos penggalak kedua Moderna dan Pfizer /BioNTech kepada individu berusia 50 tahun ke atas dan mereka yang berisiko tinggi.
“Bagaimanapun skala perbincangan pada masa ini adalah lebih meluas.
“Ia membincangkan mengenai hal yang perlu dilakukan kepada seluruh populasi dunia dan apa yang perlu dilakukan apabila virus mula berevolusi sepenuhnya,” kata Marks.
Menurut kajian itu, dos penggalak keempat Pfizer/BioNTech mengurangkan angka jangkitan teruk COVID-19 di kalangan pesakit berusia 60 tahun ke atas namun kajian di Israel menunjukkan ia hanya perlindungan bersifat sementara.
Sumber : REUTERS
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter