Kerajaan Malaysia telah mengumumkan sejumlah RM300 juta diperuntukkan untuk 2 juta belia di dalam Bajet 2022, sebagai inisiatif merancakkan penggunaan e-tunai. Ia kini dinamakan sebagai ePemula dan akan boleh ditebus melalui empat penyedia perkhidmatan dompet elektronik (eWallet).
Belia yang layak menerima kredit e-tunai berjumlah RM150 seorang, boleh memilih untuk menebusnya menerusi salah satu daripada empat eWallet berikut:
- BigPay
- GrabPay
- ShopeePay
- Touch n Go eWallet

Menurut Kementerian Kewangan lagi, program ini akan bermula pada pertengahan bulan April 2022. Untuk itu, peniaga kecil dan sederhana (PKS) yang belum menyediakan perkhidmatan bayaran secara elektronik atau tanpa tunai (cashless), disarankan untuk mendaftar dengan penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat. Ini bagi memastikan peniaga turut menerima manfaat daripada pelaksanaan progrma ePemula ini.
Semasa pembentangan Bajet 2022 tahun lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul menerangkan bahawa belia berusia 18-20 tahun, serta pelajar institusi pengajian tinggi sepenuh masa, akan menerima kredit RM150 secara satu kali pemberian.

Pastinya penyedia eWallet yang terlibat, akan mengumumkan insentif mereka sendiri bagi menarik lebih ramai penguna menebus di platform mereka. Jangkakan ganjaran seperti kupon diskaun, pemberian tunai dan lain-lain promosi kelak. Perlu diingatkan juga, belia hanya boleh memilih satu platform sahaja untuk menebus ePemula.
Sejak Belanjawan 2020 lagi kerajaan telah berikan wang percuma bagi memupuk penggunaan eWallet. Ketika itu, kerajaan berikan RM30 kepada semua, tidak mengira usia. Kemudian dalam Belanjawan 2021, kerajaan mengumumkan pula Program eBelia yang memberikan RM150 dalam bentuk kredit e-tunai.
[Sumber: Kementerian Kewangan]