SAN FRANCISCO: Pengasas Tesla dan SpaceX, Elon Musk, membuat tawaran bagi membeli Twitter, berdasarkan rekod fail di Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC).
Jutawan Amerika Syarikat (AS) berkata, beliau sedia membayar AS$54.20 (RM229.46) per saham bagi membeli 100 peratus syarikat media sosial terbabit.
Menurut Xinhua, tawaran wang tunai itu menjadikan nilai syarikat media sosial berkenaan pada harga AS$43.4 bilion (RM183.73 bilion).
“Saya melabur dalam Twitter kerana saya percaya potensinya untuk menjadi platform kebebasan bercakap di seluruh dunia. Twitter perlu ditransformasi sebagai syarikat swasta.
“Ini adalah tawaran terbaik dan terakhir saya dan jika ditolak, saya sedia mempertimbangkan posisi saya selaku pemegang saham,” tulis Musk menerusi emel kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Twitter, Bret Taylor.
Emel terbabit direkod dan simpan dalam fail SEC. Tawaran itu adalah premium 54 peratus sehari sebelum beliau mula melabur dalam Twitter dan premium 38 peratus sehari sebelum pelaburannya diumumkan secara terbuka.
Dalam pada itu, Twitter mengeluarkan kenyataan mengesahkan tawaran dibuat Musk dan memaklumkan lembaga pengarah syarikat akan meneliti cadangan terbabit sebelum membuat sebarang keputusan.
Pada 4 April lalu, Twitter mengesahkan Musk membeli 9.2 peratus saham syarikat itu sekali gus menjadi pemegang saham terbesar, namun beliau enggan menyertai ahli lembaga pengarah.
Sebagai ahli lembaga pengarah, Musk tidak dibenarkan untuk memiliki lebih daripada 14.9 peratus saham syarikat.
Sumber : BERNAMA
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter