22 C
Malaysia
Wednesday, December 6, 2023

Dana Yayasan Akalbudi dibeku, tak dapat teruskan kerja kebajikan – Zahid

PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau tidak dapat meneruskan kerja kebajikan kerana dana Yayasan Akalbudi dibekukan selepas beliau didakwa di mahkamah.

Bernama melaporkan Zahid, 69, mendedahkan perkara itu ketika disoal peguamnya, Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

“Sejak saya dituduh di mahkamah (pada 2018), akaun (Yayasan Akalbudi) dibekukan dan saya tidak mampu lagi beri bantuan kebajikan,” katanya ketika memberi keterangan dari tempat saksi pada hari pertama prosiding membela diri.

Beliau berkata, dana yayasan itu bukan sahaja disalurkan bagi kerja kebajikan di kawasan Parlimen itu, malah disumbangkan untuk membina masjid di Yunnan, China yang menelan kos RM3.8 juta dan pengubahsuaian masjid lama berusia 400 tahun di perkampungan Melayu di Cape Town, Afrika Selatan berharga USD1 juta.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Yayasan Akalbudi turut membiayai kos pengubahsuaian sebuah gereja lama yang dibeli komuniti Islam di Perth, Australia untuk dijadikan masjid.

“Yayasan Akalbudi juga mengeluarkan dana berjuta ringgit bagi percetakan al-Quran untuk diedarkan ke negara minoriti Islam seperti Kemboja, China, Korea dan beberapa negara lain.”

Katanya, yayasan itu turut menyumbang RM8 juta bagi pembinaan dataran Masjid Tuminah Hamidi (yang masih dalam proses pembinaan), selain menyalurkan bantuan kepada keluarga kaum Cina dan India sempena perayaan Deepavali serta Tahun Baharu Cina.

Zaidi: Objektif Yayasan Akalbudi menjurus kepada agama Islam, mengapa sumbangan itu juga disalurkan kepada agama lain?

Zahid: Saya adalah rakyat Malaysia yang sebenar, dan Islam agama saya. Berlaku adil kepada lain-lain agama, sebab itu menjadi tanggungjawab saya untuk memberi kemudahan kepada agama lain bagi mereka melakukan aktiviti berkaitan penganut agama berkenaan.

Beliau berkata, yayasan juga menanggung perbelanjaan tiket, hotel, makan minum anggota polis, keselamatan serta pembantu yang terbabit dalam operasi ketika tragedi pesawat MH17 (17 Julai 2014).

Menjawab soalan Zaidi mengapa kerajaan Malaysia tidak membiayai kos itu, tetapi ia ditanggung yayasan itu, Zahid berkata, kejadian berkenaan berlaku secara tiba-tiba dan waktu itu belum dapat “wang pendahuluan” dari kerajaan.

“Oleh itu, yayasan membiayai perbelanjaan kumpulan forensik polis serta anggota keselamatan lain untuk dihantar ke sana (Ukraine) bagi mengenal pasti mayat penumpang MH17. Saya dan ketua polis negara turut pergi ke Ukraine,” jelas Zahid.

Zahid berdepan 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Jan lalu, mahkamah memerintahkan Zahid membela diri terhadap semua pertuduhan itu, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini.

Sumber : Free Malaysia Today

Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
1FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
15,327
Total active cases
Updated on December 5, 2023 6:16 pm

Latest Articles

Skip to toolbar