MANCHESTER: Cristiano Ronaldo akan menerima bonus sebanyak RM4.7 juta selepas melakar hatrik untuk membantu Manchester United menang 3-2 ke atas Norwich semalam.
Menurut The Sun, Ronaldo memiliki klausa mengenai bonus dalam kontraknya apabila dia meledak gol ke-21 pada musim ini.
Kontrak Ronaldo turut menyatakan dia akan menerima bonus RM4.14 juta selepas menjaringkan gol ke-20 serta tambahan RM553,000 untuk hatrik.
Jadi, Ronaldo akan menerima RM553,000 bagi setiap gol yang dijaringkan olehnya selepas ini sehingga penghujung musim.
United juga perlu membayar bonus sebanyak RM5.53 juta kepada penjaring terbanyak pasukan dan Ronaldo dilihat mampu menjulang anugerah itu selepas berkelebihan 12 gol mengatasi pencabar terdekat, Bruno Fernandes.
Selain itu, Ronaldo akan menerima bayaran keseluruhan sebanyak RM15.2 juta sekiranya berjaya menjaringkan 30 gol buat United pada musim ini.
Meskipun dikritik selepas membuat keputusan untuk kembali ke United namun Ronaldo menjadi watak penting dalam misi mereka memburu penamat empat terbaik.
Kemenangan United ke atas Norwich yang dibantu dengan hatrik Ronaldo membolehkan mereka melonjak ke tempat kelima, tiga mata di belakang Tottenham.
Sumber : AGENSI
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter