KUALA LUMPUR: Seorang penduduk Rumah Bonda mengaku di mahkamah pada Isnin (30 Mei) bahawa kesan melecur yang dialami seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella adalah berpunca daripada air panas daripada kelalang termos dan bukannya dispenser air. Yasmin Nahar Mahmood, 19, bersetuju dengan cadangan peguam Nurul Hafidzah Hassan bahawa Bella bermain dengan kelalang di bilik dobi sebuah kondominium di Wangsa Maju sebelum air di dalam kelalang tumpah ke atasnya.
Nurul Hafidzah mewakili pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali (gambar) yang didakwa atas dua pertuduhan mengabai dan mendera remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, antara Februari dan Jun 2021, dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi, saksi pendakwaan kelima itu juga bersetuju dengan cadangan Nurul Hafidzah bahawa dia telah memberitahu polis perkara yang sama (mengenai kelalang termos) di lobi kondominium pada 7 Julai 2021.
Sebelum ini, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun mengarahkannya menyimbah air panas daripada dispenser air kepada Bella tiga kali seminggu menggunakan cawan plastik kuning tanpa pemegang dan picagari.
Ditanya peguam sama ada punca tumpahan air daripada kelalang itu disebabkan pergelutan antara Bella dan seorang lagi penduduk dikenali sebagai Balqis selepas bekas Balqis selesai mencuci muka dan makanan ringan, saksi itu berkata dia tidak pasti. Yasmin bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan seorang lagi peguam Siti Bainun, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor bahawa tiada dispenser air atau pemanas air dirampas kerana pegawai polis yang datang ke kondominium itu hanya mengambil kelalang termos.
Yasmin juga tidak bersetuju dengan cadangan Nur A'minahtul bahawa dia yang mengikat Bella dan enggan memberi gadis itu minum, yang disaksikan oleh seorang penduduk bernama Siti. Dia juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa keterangannya kepada mahkamah adalah rekaan dan bertujuan untuk meletakkan Siti Bainun di sebalik bar. Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria mengenai cebisan kain yang didakwa disumbat dalam mulut Bella oleh Siti Bainun, saksi itu berkata, dia tidak memberitahu polis mengenai perkara itu selepas Siti Bainun mengarahkannya supaya tidak berbuat demikian. “Kalau saya beritahu polis, saya akan dimarahi, saya tidak percaya sesiapa, kain itu berbau...ia dibuang,” kata saksi itu. Perbicaraan bersambung esok. Sumber : Bernama
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter