JOHOR BAHRU: Harga ayam segar di bandar raya ini meningkat antara RM9.50 hingga RM10.50 sekilogram (kg) sejak hari raya kelima, sekali gus dijual melebihi harga siling RM8.90 kg.
Tinjauan di pasar basah utama di Tampoi dan Kempas di sini, mendapati kebanyakan penjual tidak mematuhi harga siling, sebaliknya menjualnya antara 60 sen hingga RM1.60 sen lebih tinggi berbanding harga kawalan.
Beberapa peniaga ayam segar juga dilihat tidak meletak tanda harga dan hanya memaklumkan harga apabila ditanya pembeli.
Peniaga ayam, Hasrullah Lamodo, 30, berkata peniaga bahan mentah itu kian tersepit, berikutan menerima ayam segar pada harga yang tinggi iaitu RM9 kg daripada pembekal.
Katanya, ia menyebabkan kebanyakan peniaga tidak dapat mematuhi harga siling ayam segar yang ditetapkan kerajaan.
“Peniaga menerima harga ayam segar pada harga RM9 setiap kilogram yang merangkumi kos pengangkutan sebanyak RM1 setiap kilogram. Kami peniaga perlu membayar kos pengangkutan sejak kerajaan menguatkuasakan harga kawalan ayam 5 Februari lalu, sedangkan sebelum ini kami tidak pernah dikenakan kos pengangkutan.
“Macam mana peniaga nak jual ayam segar pada harga RM8.90 sekilogram mengikut harga kawalan, sedangkan harga ayam sampai pun sudah RM9 sekilo.
“Pengguna serta peniaga makanan memang marah dan bising kerana kenaikan harga ayam ini, namun peniaga tidak dapat berbuat apa-apa. Tidak akanlah kami nak jual tanpa dapat sebarang untung.
“Hari ini pun makin kurang pengguna yang beli ayam. Minggu lalu hingga semalam jualan ayam sangat laris kerana bila tengah hari stok hampir habis, namun hari ini banyak lagi ayam segar tak terjual,” katanya ketika ditemui.
Pada 5 Februari lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling runcit ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram di Semenanjung.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, harga itu akan dikuat kuasa mulai 5 Februari sehingga 5 Jun 2022 iaitu selama 121 hari, bagi menjamin kestabilan harga ayam dan makanan yang berkaitan harga mentah itu.
Sementara itu, pengguna yang ditemui melahirkan rasa kecewa dengan harga ayam yang semakin mahal.
Peniaga nasi lemak, Kamal Mohd Atan, 58, berkata beliau terkejut kerana harga ayam segar mencecah antara RM9.50 hingga RM10.50 di sekitar bandar raya ini.
Katanya, sepanjang Ramadan lalu beliau dan isteri tidak membuka perniagaan nasi lemak namun apabila mahu membuka warung mereka esok, harga bahan mentah terutama ayam segar naik mendadak.
“Saya dan isteri termenung juga tadi apabila nak beli ayam segar berikutan harganya melonjak antara RM9.50 hingga RM10.50 sekilo. Di setengah kawasan harga ayam dah sampai RM10.50 menyebabkan kami terpaksa pergi ke banyak pasar mencari harga yang lebih murah.
“Macam manalah kami nak berniaga jika harga bahan mentah amat tinggi. Nasi lemak ayam kami jual RM5, jika naikkan harganya, sudah tentulah pelanggan akan marah dan pergi ke tempat lain, apatah lagi kami hanya peniaga kecil di warung,” katanya.
Suri rumah, Marimah Ahmad, 47, berkata beliau turut buntu apabila harga bahan mentah utama termasuk ayam segar naik mendadak.
“Anak-anak memang suka makan ayam dan jika boleh mahu menu ayam setiap hari.
“Namun bila harga ayam segar dah cecah RM10.50 di kawasan perumahan saya menyebabkan terpaksa membeli dengan berhemah. Jika dulu saya beli dua atau tiga ekor ayam sekali beli, tetapi sekarang beli seekor sahaja pun sudah rasa terbeban,” katanya.
Sumber : Berita Harian
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter