Ipoh: Iqbal Hasnun Halimi dan Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar digambarkan rakan mereka sebagai sahabat yang baik, aktif di kampus dan berjiwa kepimpinan.
Menurut Ainur A’fifah Zakaria, 21, arwah Iqbal Hasnun adalah Pengerusi Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) bagi kampus mereka iaitu Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan sangat gigih dalam semua perkara.
Katanya, arwah juga dikenalinya sebagai pemimpin yang baik dalam kalangan penuntut USAS.
“Arwah Iqbal mengambil jurusan Pengajian Islam dan kami ada mengambil satu subjek yang sama.
“Dia pengerusi Kor Sispa manakala saya naib pengerusi dan banyak membantunya dalam urusan Kor Sispa.
“Orangnya memang baik dan apabila hendak membuat sesuatu perancangan, dia yang paling gigih dan giat berusaha, memang semua benda dia yang sediakan,” katanya ketika di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini, hari ini.
Ainur A’fifah berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Iqbal Hasnun pada Sabtu lalu dan pemuda itu tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Kami bersembang seperti biasa. Dia baru balik dari Johor menaiki bas. Tiada apa perubahan, tetapi dia memang selalu mesej dengan kami semua, baru-baru ini, dia mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Muhammad Alif Haiqal Jamal Amidy, 22, pula memberitahu terkejut dan tidak percaya sebaik mengetahui kemalangan itu menerusi mesej kumpulan WhatsApp fakulti pada 1.49 pagi.
“Saya segera hubungi arwah Iqbal dan Nasrun selepas membaca mesej itu untuk kepastian tetapi talian telefon mereka tidak dapat dihubungi,” katanya yang memberitahu mempercayai kejadian itu selepas rakan lain di lokasi memaklumkannya.
Menurutnya, dia mengenali kedua-dua arwah yang aktif dalam Kor Sispa dan kali terakhir menemui mereka adalah pada Ramadan lalu, sebelum mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.
Katanya, Iqbal Hasnun juga ada berkongsi rancangan untuk mengadakan program bersama mereka namun tidak kesampaian.
Iqbal Hasnun dan Nasrun Aidol bersama tiga rakan mereka terkorban selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, tengah malam tadi.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter